• Tarikh Kemaskini 24 September 2026

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER –Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini melancarkan Laporan Kajian Amalan Perancang Keluarga di Malaysia (KAPKM) sebagai usaha memperkukuh dasar, program dan penyampaian perkhidmatan perancang keluarga di negara ini melalui dapatan penyelidikan yang komprehensif.

Kajian yang dilaksanakan oleh UPUM Sdn. Bhd. (Kumpulan Perunding Universiti Malaya) bermula dari 1 Ogos 2024 hingga 31 Oktober 2025 ini telah dibiayai oleh United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia menerusi peruntukan Country Programme Action Plan (CPAP) 2021–2025. KAPKM merupakan kajian yang menggunakan pendekatan kuantitatif dan juga kualitatif yang bertujuan untuk mengenal pasti isu dan cabaran berkaitan amalan perancang keluarga, khususnya dalam aspek penggunaan kontraseptif dan rawatan subfertiliti.

Kajian ini turut menilai keberkesanan pelaksanaan program perancang keluarga sedia ada serta mengemukakan cadangan strategik bagi memperkukuh dasar, penyampaian perkhidmatan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif di Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan kontraseptif moden dalam kalangan wanita berkahwin masih berada pada tahap yang rendah, di samping wujudnya salah tanggapan terhadap kaedah kontraseptif, kebimbangan terhadap kesan sampingan, pengaruh pasangan serta jurang pengetahuan yang mempengaruhi keputusan penggunaan perancang keluarga. Kajian ini turut mengenal pasti cabaran dalam mendapatkan rawatan subfertiliti, termasuk kos rawatan, akses kepada perkhidmatan serta tahap kesedaran masyarakat.

Sempena pelancaran laporan ini, LPPKN turut menganjurkan Forum Pakar bertemakan "Memperkukuh Amalan Perancang Keluarga Melalui Penyelidikan, Inovasi dan Kolaborasi". Forum tersebut menghimpunkan pakar daripada LPPKN, UNFPA Malaysia, Universiti Malaya serta pengamal kesihatan tempatan bagi membincangkan penemuan utama kajian, cabaran semasa pelaksanaan perkhidmatan perancang keluarga dan cadangan tindakan strategik bagi memperkukuh pelaksanaan program perancang keluarga di negara ini.

Penganjuran forum ini bertujuan memperkukuh perkongsian ilmu, menggalakkan penggunaan dapatan KAPKM dalam amalan profesional dan pembangunan dasar, serta meningkatkan kolaborasi antara sektor awam, sektor swasta, institusi akademik dan rakan strategik dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan perancang keluarga yang berkualiti. LPPKN berharap dapatan kajian ini dapat dimanfaatkan oleh pembuat dasar, penyedia perkhidmatan kesihatan, institusi akademik, badan profesional dan rakan strategik sebagai rujukan dalam merangka intervensi yang lebih berkesan bagi memenuhi keperluan masyarakat serta memperkukuh kesejahteraan keluarga di negara ini.

Maklumat lanjut berkaitan majlis pelancaran laporan dan laporan penuh Kajian Amalan Perancang Keluarga di Malaysia (KAPKM) boleh diakses melalui laman web rasmi LPPKN di www.lppkn.gov.my dan Malaysia Population Research Hub (MPRH) https://mprh.lppkn.gov.my/.