• Tarikh Kemaskini 07 April 2023

1. Apakah pentingnya Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia kedua (IKK-2)?


Objektif utama Kajian IKK-2 adalah untuk mengukur tahap kesejahteraan keluarga di negara ini. Pengukuran kesejahteraan keluarga adalah penting kerana ia mampu mengukur kesan pelaksanaan dasar pembangunan sosial dan ekonomi negara ke atas institusi keluarga. Selain itu, pelaksanaan kajian ini adalah perlu dalam usaha kerajaan membangunkan program dan perkhidmatan intervensi kekeluargaan serta memperluaskan program-program intervensi sedia ada yang sentiasa relevan dengan keadaan dan cabaran semasa.

2. Bilakah kajian ini akan dilaksanakan?


Kerja lapangan kajian ini akan mengambil masa selama tiga bulan iaitu dari Mac hingga Mei 2016. Dalam tempoh tersebut, tempat kediaman terpilih yang meliputi seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan dilawati.

3. Siapakah yang akan ditemu bual dalam kajian ini?


Dianggarkan sejumlah 8,542 tempat kediaman di seluruh negara akan dilawati dalam kajian ini. Responden kajian akan terdiri daripada ibu atau bapa yang mempunyai anak berumur antara 7 hingga 24 tahun.

4. Bagaimanakah kajian ini akan dilaksanakan?


Kajian ini akan menggunakan kaedah temu bual secara bersemuka. Penemubual yang dilantik akan melawat ke setiap tempat kediaman yang terpilih dan seterusnya menemu bual wakil ibu bapa di tempat kediaman tersebut untuk mendapatkan maklumat. Jika terdapat kemusykilan pada soalan yang diajukan atau memerlukan penjelasan yang lebih mendalam, responden (ibu atau bapa) boleh bertanya kepada penemubual yang telah dilantik.

5. Adakah maklumat yang diberikan dalam kajian ini adalah selamat?


Maklumat yang anda berikan akan dirahsiakan dan dijamin sulit. Semua maklumat akan hanya digunakan untuk kajian ini sahaja.

6. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan?


Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan:

Unit Penyelidikan Demografi-Keluarga,
Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga,
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara,
Bangunan LPPKN, 12B, Jalan Raja Laut,
Peti Surat 10416, 50712 Kuala Lumpur.
Tel: 03-26137555
Faks: 03-26937250
E-mel: penduduk@lppkn.gov.my