• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

Pada 8 Julai 2013, bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia 2013, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Unit Kajian Penduduk, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya telah menganjurkan Persidangan Kependudukan Antarabangsa : Migrasi, Urbanisasi dan Pembangunan bertempat di Dewan Kuliah 3, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Majlis yang dirasmikan oleh YB. Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini telah dihadiri oleh seramai 200 peserta yang terdiri daripada pegawai Kerajaan, wakil Kedutaan, wakil badan antarabangsa, pensyarah, pelajar universiti, serta wakil dari pelbagai badan bukan Kerajaan. Turut hadir adalah Dr. Nor Edzan Haji Che Nasir, Ketua Pustakawan, Universiti Malaya, Dr. Anjli Doshi-Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), LPPKN and Prof. Dr. Rajah Rasiah, Pemangku Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Persidangan selama sehari ini telah berjaya menghimpunkan seramai 10 orang  pengkaji yang pakar dalam bidang demografi dan pembangunan dari dalam dan luar negara antaranya Prof. Graeme Hugo dari University of Adelaide, Australia; Prof. Charles Hirschman dari University of Washington, USA; Dr. Yap Mui Teng dari Lee Kuan Yew School of Public Policy, Singapura; Prof. Gavin W. Jones dari National University of Singapore, Singapura dan Dr. Mauro Testaverde dari Bank Dunia. Pakar dari dalam negara pula terdiri daripada Prof. Dr. Azizah Kassim dari Universiti Kebangsaan Malaysia; Prof. Madya Tey Nai Peng, dari Universiti Malaya;  Dr. Anjli Doshi-Gandhi dari LPPKN dan juga Dr. Abdul Rahman Hassan dari Jabatan Perangkaan Malaysia.

Penganjuran persidangan  ini adalah bertujuan untuk  membincangkan mengenai (i) trend dan aliran migrasi, (ii) kesan migrasi terhadap urbanisasi dan pembangunan, dan (iii) strategi dan polisi dalam menangani isu migrasi supaya kebaikannya dapat dimaksimumkan dan keburukannya dapat dikurangkan.

Melalui persidangan ini juga, satu jaringan kerjasama bersama  pakar-pakar jemputan dapat diwujudkan  dalam usaha berkongsi hasil penyelidikan berkaitan bidang migrasi, urbanisasi dan pembangunan.

Menyentuh mengenai migrasi,  YB. Timbalan Menteri, Datuk Hajah Azizah dalam ucapannya berkata bahawa pada tahun 2011 lebih daripada separuh (52%) atau 3.5 billion penduduk dunia tinggal di kawasan bandar, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia pula,  pada tahun 2010, 7 daripada 10 penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar. Beliau turut berkata bahawa proses migrasi berlaku didorong oleh aspirasi individu untuk mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi dan pekerjaan yang lebih baik sekaligus keluar dari kepompong kemiskinan dan menikmati hidup yang lebih berkualiti. Dengan memahami hasil pembentangan, hasil persidangan ini dapat dijadikan sebagai input dan panduan kepada para penggubal dan pengurus program dalam merangka program dan polisi negara yang lebih komprehensif dan berkesan berkaitan migrasi, urbanisasi dan pembangunan. Beliau juga memaklumkan bahawa satu diskusi di antara LPPKN dan UM berserta semua pembentang kertas kerja akan diadakan bertujuan mencari peluang dan ruang untuk menjalankan penyelidikan secara bersama berkaitan bidang migrasi.  

Dr. Nor Edzan dalam ucapannya pula menyatakan bahawa penganjuran persidangan seumpama ini merupakan yang ketiga di antara pihak LPPKN dan Universiti Malaya. Susulan daripada pemeteraian MoU di antara LPPKN dan UM pada April lalu, penganjuran persidangan seperti ini akan menjadi satu titik tolak kepada lebih banyak lagi jalinan kerjasama pada masa hadapan di antara kedua-dua pihak bagi mempromosi dan menjalankan penyelidikan berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif.  

Pada majlis yang sama, YB. Timbalan Menteri turut menyampaikan hadiah kepada 16 para pemenang Pertandingan Fotografi sempena Hari Penduduk 2012 hasil jalinan kerjasama LPPKN bersama Fakulti Kreatif dan Multimedia, Universiti Multimedia (MMU) dan Canon Marketing (M) Sdn. Bhd. yang telah diadakan pada 18 Julai hingga 30 November 2012.

 
Untuk mendapatkan abstrak dan slaid, sila klik di sini.

 

Sumber : Bahagian Kependudukan