-
Tarikh Kemaskini 30 January 2023
LUNDU: Kanser payudara adalah barah utama yang menyerang wanita dan menjadi penyebab kematian, tidak terkecuali di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kanser payudara mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 34.1 peratus berbanding kanser lain dalam kalangan wanita di Malaysia.
Beliau berkata, kadar insiden kanser payudara di Malaysia ialah 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita.
"Kanser serviks pula, wanita yang berumur 30 tahun dan ke atas adalah kumpulan paling berisiko. Dua jenis kanser ini ialah kanser reproduktif yang menghantui wanita di negara kita," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Reproduktif Wanita (WCaRe), di sini, hari ini.
Justeru, katanya, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meneruskan kempen WCaRe bagi meningkatkan kesedaran, terutamanya wanita mengenai kepentingan melakukan saringan awal bagi mengesan kanser payudara dan kanser serviks atau pangkal rahim.
Nancy berkata, usaha itu juga bertujuan mencapai sasaran matlamat global iaitu sifar insiden kanser serviks menjelang 2070.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN turut menyediakan subsidi bersasar untuk kedua-dua ujian kanser itu, terutama untuk golongan B40.
Katanya, sebanyak 49 Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di seluruh negara melaksanakan Kempen WCaRe serta menyediakan perkhidmatan ujian mamogram bagi kanser payudara dan ujian HPV DNA bagi kanser serviks.
Beliau berkata, menerusi WCaRe, LPPKN sudah menjalankan 463,417 ujian mamogram sejak 2007 dan daripada jumlah itu, 929 kes disahkan positif kanser dan 45,011 kes memerlukan pemeriksaan susulan.
Jumlah itu, katanya, membabitkan 70,808 wanita di Sarawak, dengan 80 kes disahkan positif kanser dan 7,512 kes memerlukan penyiasatan lanjut.
Bagi kanser serviks pula, katanya, LPPKN membantu 67,871 wanita untuk menjalani ujian HPV DNA bagi tempoh 2019 hingga 2022, dengan 8,634 adalah wanita dari Sarawak.
Beliau berkata, semua wanita disaran melakukan ujian HPV DNA itu setiap tiga hingga lima tahun sekali.
"Kepada wanita di luar sana, janganlah takut untuk mengambil ujian ini, saya sendiri pun sudah mengambil ujian ini pada bulan lepas," katanya.
Sumber Berita Harian : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1057421/kanser-payudara-barah-utama-penyebab-kematian-wanita