• Tarikh Kemaskini 02 October 2023

LUNDU, 29 JAN. – LPPKN dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah merintis kerjasama bagi melaksanakan program Gempur Saringan HPV DNA bagi tujuan pengesanan awal kanser serviks. Program kerjasama ini akan dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai kesinambungan kempen kesedaran kanser reproduktif wanita atau WCaRe.

Tujuan utama pelaksanaan kempen WCaRe adalah untuk meningkatkan kesedaran semua pihak terutamanya wanita terhadap kepentingan melakukan saringan awal bagi mengesan kanser serviks dan kanser payudara supaya langkah pencegahan dan rawatan yang sesuai dapat dilaksanakan sewajarnya untuk mereka yang memerlukan.

"Wanita berumur 30 tahun dan ke atas adalah kumpulan yang paling berisiko mendapat kanser serviks. Ujian HPV DNA yang dilaksanakan oleh LPPKN menggunapakai kaedah yang membolehkan wanita mengambil sampel sendiri menggunakan Kit Ujian HPV DNA yang akan dibekalkan," demikian menurut Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapan perasmian Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita ( WCaRe) 2023, di sini.

Sejumlah 49 buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di seluruh negara turut melaksanakan Kempen WCaRe selain program outreach yang diselaraskan melalui pejabat LPPKN negeri bagi memastikan Kempen WCaRe mendapat liputan meluas serta seramai mungkin rakyat menerima manfaat daripadanya. Bagi wanita di negeri Sarawak, boleh berkunjung ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kuching, Sibu dan Miri untuk mendapatkan saringan percuma yang ditawarkan.

Maklumat mengenai kesedaran betapa pentingnya membuat saringan awal bagi mengesan Kanser Serviks dan Kanser Payudara ini telah dihebahkan dan dipromosikan melalui pelbagai saluran seperti media arus perdana, media sosial, dan program-program outreach dan bersempena Januari sebagai Bulan Kesedaran Kanser Serviks, Kempen WCaRe telah berjaya menyampaikan maklumat dan informasi berguna berkaitan kesedaran saringan awal kanser reproduktif kepada hampir 2.1 juta sasaran.

Turut hadir ialah Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM dan Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN.