-
Tarikh Kemaskini 17 September 2019
SIARAN MEDIA
KERAJAAN CADANG AHAD MINGGU PERTAMA JULAI SEBAGAI HARI IBU BAPA
KANGAR, 26 Jun. – Kerajaan mencadangkan Ahad minggu pertama bulan Julai setiap tahun sebagai hari ibu bapa bagi negara ini berbanding diraikan secara berasingan pada tahun-tahun terdahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan perkara ini sebaik selesai majlis perasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan 2018 bertemakan Ibu dan Bapa Anugerah Terindah, yang disempurnakan oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis.
"Justeruitu, hanya satu hari akan menjadi sambutan Hari Ibu Bapa dan tidak lagi diasingkan bagi menghargai komitmen ibu dan bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Kesungguhan dan komitmen inilah yang membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera. Sehubungan itu, minggu pertama Julai setiap tahun akan menjadi minggu sambutan Hari Ibu bapa mengikut peringkat masing-masing," tegas Wan Azizah.
Untuk rekod, Malaysia akan menjadi negara ke empat (4) selepas Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Filipina yang meraikan hari ibu bapa ini secara serentak.
Pada majlis sama, seramai sembilan (9) penerima anugerah iaitu masing-masing enam (6) bagi anugerah Ibu Gemilang dan tiga (3) bagi anugerah Bapa Inspirasi turut diumumkan dan diraikan. Anugerah adalah inisiatif Kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebagai menghargai peranan yang dimainkan ibu dan bapa dalam melahirkan keluarga sejahtera.
Pemenang anugerah Ibu Gemilang ialah Noriah binti Ashari (Kategori Kebudayaan), Ong Kim Lian (Kesihatan), Rokiah Binti Salim (Keselamatan), Parameswari a/p Kulanthaiappan (Pendidikan), Sa'adiah binti Ali (Ekonomi) Ramlah binti Md Jalee bagi kategori khas Orang Kurang Upaya (OKU).
Manakala Bapa Inspirasi pula ialah Ng Chiew Khai (Kategori Umum), Mohd. Yazid bin Bain (Orang Kurang Upaya) dan terakhir bagi kategori bapa tunggal, Yahaya bin Md. Arif. Kesemua penerima hadir menerima anugerah masing-masing.
Turut diadakan ialah aktiviti “Art Therapy” terbesar bertemakan “Therapeutic Expressive Arts Inspiration for Mom and Dad” sebagai usaha menjalinkan ikatan kasih sayang yang erat antara ibu, bapa dan anak yang dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.
Majlis berkonsepkan hi-tea ini berjaya mengumpulkan lebih 1000 orang para ibu bapa sekitar Perlis dan seluruh negara turut dihadiri Dato' Suriani binti Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian dan Dato' Mariam Mas binti Yaacob, Pengerusi LPPKN.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Unit Komunikasi Korporat
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
12B, Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-2613 7555 samb. 3308 / 3310/ 3309/ 2132
No. Faks : 03-2691 9431
(Pn. Rosmonaliza: 019 - 2333 415)