• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KUALA LUMPUR : Satu taklimat khusus mengenai Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), 2014 kepada kerajaan negeri Sarawak telah diadakan dengan jayanya pada 20 Mei 2014 bertempat di Hotel Riverside Majestic, Kuching, Sarawak. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.Bhg Puan Rodziah Haji Morshidi, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga ini telah dihadiri oleh wakil dari pelbagai Kementerian/ Jabatan serta wakil-wakil residen dari seluruh Sarawak. Taklimat sehari ini telah disampaikan oleh YBrs. Dr Anjli Doshi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), LPPKN dan En. Adzmel Mahmud, Pengarah Bahagian Kependudukan, LPPKN.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai pelaksanaan KPKM-5 secara keseluruhan dan membincangkan mengenai keperluan logistik operasi kerja lapangan dan hebahan kajian kepada penduduk negeri Sarawak. Taklimat seumpama ini merupakan salah satu aktiviti penting kajian dalam  usaha untuk mempromosi dan melancarkan pelaksanaan kajian.

Di akhir perbincangan, pihak kerajaan negeri Sarawak menyatakan kesediaan untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada LPPKN demi melancarkan lagi perancangan kajian ini di Sarawak kelak. Diharapkan hasil pelaksanaan KPKM-5 di Sarawak akan menjadi input berguna dalam perancangan sosio-ekonomi dan pembangunan masa hadapan negeri Sarawak.