• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

SUNGAI BESAR : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mensasarkan 200,000 remaja wanita berumur 18 tahun untuk disuntik vaksin Human Papilloma Virus (HPV) secara percuma.


Timbalan Menterinya, Datuk Noriah Kasnon, berkata Kerajaan Pusat memperuntukkan RM50 juta untuk program itu dan ia kali pertama diadakan di Asia Tenggara, dalam usaha mempromosi suntikan vaksin mencegah kanser servik.


Sehingga kini, seramai 39,448 wanita sudah mendapat manfaat daripada program ini dan ia bertepatan dengan hasrat kerajaan mahu melihat rakyat Malaysia sihat, melalui kehidupan yang sejahtera.

Dapat suntikan percuma

Kita galakkan wanita berusia 18 tahun mendapatkan suntikan percuma ini yang ditawarkan di 58 Klinik Nur sejahtera serta klinik kesihatan di semua institusi pengajian tinggi awam, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Vaksinasi HPV Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar di sini, semalam.

Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV bagi membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan kemudahan imunisasi mencegah kanser servik.

 

Tiga suntikan

Najib berkata, kemudahan imunisasi bernilai RM150 bagi tiga suntikan itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Sementara itu, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar, berkata ibu bapa perlu bekerjasama dengan memastikan anak mereka menerima suntikan HPV kerana usaha berkenaan tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak.

Inisiatif dan peruntukan yang diberi untuk program ini dilihat dapat mengurangkan kanser servik walaupun hasilnya hanya dapat dilihat dalam tempoh 20 tahun lagi. HPV adalah penyebab utama kanser serviks yang disebar menerusi hubungan seks dan Daftar Kanser Kebangsaan menganggarkan dua hingga tiga kes baru dilapor setiap hari sejak 2007, katanya.

 

Sumber : Berita Harian