• Tarikh Kemaskini 15 May 2025

11 Mei 2025 - Hidup jauh di perantauan dan diuji dengan kegagalan kehidupan berumah tangga tidak menjadi penghalang untuk Puan Hajjah Kasmirah Jaafar membesarkan dan memberikan pendidikan terbaik buat anak-anaknya. Bahkan, kasih sayang yang dicurahkan tidak pernah berkurang walaupun perlu menyara lima orang anak dengan tangannya sendiri.

Mengagumi ketabahan sosok seorang ibu, anak-anak Puan Hajjah Kasmirah telah mencalonkan ibunya yang telah banyak berkorban masa, tenaga mahupun wang ringgit demi melihat anak-anak berjaya.

 

Berikutan kecekalannya, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menganugerahkan Anugerah Inspirasi Ibu buat beliau sebagai menghargai segala jasa dan pengorbanannya.

Beliau telah berjaya mengatasi 18 calon lain dari seluruh negara dan seterusnya menerima anugerah istimewa ini sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025

Turut disampaikan Anugerah Ikon Ibu Muda kepada saudari Bella Astillah, seorang yang memiliki semangat luar biasa dan kuat menghadapi cabaran kehidupan di usia muda demi anak-anak.

 

Kedua-dua anugerah ini telah disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin, Isteri Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu.

 

Bertemakan Sentuhan KASIH Ibu, sambutan ini menjadi manifestasi dalam mengiktiraf peranan besar ibu sebagai tonggak kekuatan negara.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya menyatakan Kementerian sentiasa komited dalam memperkasa wanita dan ibu di Malaysia menerusi beberapa inisiatif antaranya Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), MamaCare dan Program Wanita Bangkit.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang sambutan ini berlangsung antaranya forum 'Inspire and Empowerment', 'Mother Booth' Pakej Sayang Ibu, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pameran jabatan dan agensi.

 

Turut sama hadir dalam majlis ini ialah Puan Farah Adura Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Encik Mohd Daud Mohd Ariff, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Puan Juwairiya Zulkifli, Timbalan Pengerusi LPPKN, Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah JPW, Puan Nordina binti Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Norhaslinda Mohd Sibi, Pengarah ISM serta pegawai Jabatan dan Agensi KPWKM.

Selamat Hari Ibu kepada semua wanita bergelar ibu. Jasamu sentiasa dikenang, baktimu tiada ternilai.