• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KUALA LUMPUR, 14 Jun, 2014 – Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 mendapati hanya 65.3 peratus kaum bapa meluangkan masa bersama anak berumur bawah 7 tahun berbanding kaum ibu sebanyak 80.2 peratus. Perkara ini dinyatakan oleh YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim ketika merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2014 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Megamall Mid Valley hari ini.

'Ayahku, Heroku' adalah tema pada tahun ini kerana peranan bapa sebagai ketua, penyelamat, pelindung, pendorong dan pembimbing perlu dilabelkan sebagai hero oleh anak-anak. Perwatakan sedemikian memerlukan seorang bapa memiliki kemahiran, pemikiran, kekuatan dan jati diri yang tinggi dalam mengharungi cabaran mendatang.

Menurut YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim, disebabkan kaum bapa mempunyai hobi yang berbeza dan tidak difahami oleh ahli keluarga lain, kaum bapa selalunya berkongsi hobi dengan rakan di pejabat, komuniti persekitaran dan kenalan sosial. Ini memberi impak kepada tren hubungan dalam keluarga yang memyebabkan kaum bapa meluangkan masa bersama rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga. Beliau menyarankan agar bapa dan ahli keluarga dapat berkongsi hobi kerana usaha sebegini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mewujudkan suasana yang ceria. Bertepatan dengan Temasya FIFA World Cup "Riuh di Brazil", beliau menyarankan kepada kaum bapa untuk mewujudkan suasana "Riuh di Rumah, Bersama Keluarga" semasa menyaksikan pelawanan bola sepak Piala Dunia bersama ahli keluarga.

Sempena Sambutan Hari Bapa 2014 dan Temasya FIFA World Cup, YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim telah memberikan penghargaan kepada Tokoh Bapa Sukan yang memberikan sokongan dan inspirasi kepada anak mereka hingga berjaya menaikkan nama negara dalam bidang sukan.

Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila dianggarkan 5,000 orang menghadiri Majlis Sambutan ini. Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah pertandingan selfie bersama bapa, membuat aiskrim oleh Petrosains, permainan bola PS3 bersama bapa, art therapy, mini studio Kosmo bagi rakaman gambar bapa dan anak serta permainan dam ular gergasi