• Tarikh Kemaskini 26 September 2022

Pernyataan Dasar

Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022 - 2025 terpakai untuk setiap individu di Malaysia tanpa mengira umur, jantina serta mengambil kira kepelbagaian etnik, agama dan budaya.
 
Dasar ini menyedari bahawa Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Social and Reproductive Health Education - SRHE) adalah komponen utama dalam Hak Kesihatan Reproduktif dan Seksual (Sexual and Reproductive Health Rights - SRHR) dan pencapaian kesihatan reproduktif dan seksual yang optimum memainkan peranan penting dalam pembangunan insan yang sihat, kuat dan resilien.
 
 

Pengenalan

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Social and Reproductive Health Education - SRHE) merupakan satu proses pembelajaran sepanjang hayat yang merangkumi aspek biologikal, sosial, psikologikal, kerohanian dan budaya untuk menghasilkan generasi masa hadapan yang sihat. Ia juga merupakan salah satu elemen penting bagi perkembangan dan pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan hormat-menghormati serta mengambil kira kepelbagaian agama, nilai hidup, etnik, kumpulan umur dan jantina.

 

Objektif

Objektif utama Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) Tahun 2022 - 2025 adalah seperti berikut :

  1. Meningkatkan kesedaran individu, keluarga dan masyarakat mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial; 
  2. Membangun dan menambahbaik program SRHE yang berasaskan bukti dan bersesuaian dengan budaya serta dijalankan di semua agensi berkaitan;
  3. Membangunkan kepakaran dalam aspek SRHE dengan memberikan pengetahuan dan kemahiran SRHE yang tepat dan sesuai dalam kalangan masyarakat untuk pelaksanaan program; 
  4. Mendorong, menjalankan serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan untuk menambahbaik semua aspek SRHE; dan
  5. Memastikan pelaksanaan semua program, aktiviti dan intervensi di bawah dasar dan pelan tindakan ini dipantau secara berterusan serta dinilai dari semasa ke semasa termasuk impak program semasa tempoh akhir pelan tindakan.

 

Strategik Pelaksanaan

Bagi mencapai objektif-objektif di atas, strategi-strategi telah dirangka berasaskan 5 teras utama iaitu advokasi, promosi dan pencegahan; SRHE yang komprehensif meliputi semua peringkat usia; modal insan dan sumber lain untuk SRHE; penyelidikan dan pembangunan (R&D); serta pemantauan dan penilaian. 

Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:


 •  Advokasi, Promosi dan Pencegahan

  1. Mengurangkan sensitiviti dan penolakan SRHE supaya ia difahami dengan betul dan tidak disalahtafsirkan oleh masyarakat; 
  2. Memperkukuhkan promosi dan publisiti untuk memastikan SRHE dikenali dan difahami oleh pemegang taruh, pemimpin masyarakat termasuk pemimpin agama dan semua individu dalam komuniti; dan 
  3. Membentuk dan meningkatkan kolaboratif multisektoral agar advokasi SRHE dijalankan di pelbagai sektor dan membangunkan program promosi, pencegahan serta intervensi. 


 •  SRHE yang Komprehensif Meliputi Semua Peringkat Usia 

  1. Membangunkan model SRHE yang komprehensif dan bersesuaian dengan usia serta mengambil kira norma agama dan budaya tempatan; 
  2. Membangunkan garis panduan sistem rujukan perkhidmatan SRHE untuk kumpulan sasar pendidikan; dan 
  3. Membangunkan program SRHE di komuniti.


 •  Modal Insan dan Sumber Lain untuk SRHE

  1. Membangunkan modal insan dalam bidang SRHE dalam kalangan komuniti; dan 
  2. Memastikan kelangsungan sumber untuk semua aktiviti di bawah Pelan Tindakan. 


 •  Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) 

  1. Melaksanakan dan menambahbaik R&D dalan SRHE; dan 
  2. Meningkatkan aksesibiliti hasil penyelidikan berkaitan SRHE kepada semua pihak yang berkepentingan.


 •  Pemantauan dan Penilaian

  1. Mewujudkan mekanisme pemantauan dan penilaian serta melaksanakan pemantauan dan penilaian terhadap Pelan Tindakan serta aspek lain di bawahnya. 

 

Antara Pelaksanaan Program di bawah Dasar dan Pelan Tindakan PEKERTI

 

•  Pusat Remaja KafeTEEN

  1. Pusat Remaja KafeTEEN merupakan pusat mesra remaja moden yang ditubuhkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bermula pada tahun 2006 bagi membantu anak-anak muda yang berumur antara 13 hingga 24 tahun untuk melalui zaman remaja mereka dengan penuh keyakinan.
  2. Pusat Remaja dan Pusat Transit KafeTEEN menjalankan program pendidikan dan pembangunan kemahiran seperti ceramah, bengkel, kem, seminar, teen talk, teen chat, program sukarelawan serta aktiviti sampingan lain seperti sukan, lawatan, kerja amal dan rekreasi demi kepentingan kepada pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada remaja.


  √  Objektif Penubuhan Pusat Remaja KafeTEEN :

  1. Meningkatkan tahap kesihatan remaja daripada aspek fizikal, mental dan sosial;
  2. Menyemai nilai-nilai murni remaja terhadap perkembangan kesihatan dan sosial; dan
  3. Menyemai sikap positif terhadap perkembangan kesihatan remaja dan sosial, fizikal dan mental.


  √  Pencapaian KafeTEEN :

Sejak tahun 2006 sehingga bulan Jun 2022, seramai 758, 818 orang remaja dari seluruh Malaysia telah mengambil bahagian menerusi Program Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran (PPK) yang dilaksanakan di Pusat Remaja KafeTEEN, Kelab KafeTEEN Sekolah, program outreach, dan mobile KafeTEEN. Seramai 36, 640 orang remaja telah mendapat manfaat melalui Perkhidmatan Kesihatan Reproduktif manakala 17,961 orang remaja telah mendapatkan Perkhidmatan Kaunseling Sosial di Pusat Remaja KafeTEEN. Selain itu, program dan aktiviti Pusat Remaja KafeTEEN juga dilaksanakan menggunakan Trak KafeTEEN melalui Program JomChillOut@KafeTEEN bermula bulan Disember 2020 secara bergilir di kafeTEEN seluruh Malaysia.

 

•  PEKERTI@Komuniti

  1. Program pendidikan kesihatan reproduktif kepada golongan berisiko tinggi turut diperluaskan pada tahun 2014 hingga 2020 untuk merangkumi penghuni institusi JKM seperti Sekolah Tunas Bakti (STB), Taman Seri Puteri (TSP), Rumah Kanak-kanak (RKK), Asrama Akhlak, pelajar sekolah berasrama penuh (SBP), remaja dan ibu bapa di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), pemimpin komuniti seperti Rukun Tetangga. Terdapat tiga (3) video yang telah dibangunkan bagi mengukuhkah penyampaian PKRS kepada komuniti iaitu Sayang Sarah, Respek Sarah dan Hak Sarah.
  2. Sehingga tahun 2020, seramai 7,840 peserta telah mendapat manfaat daripada 166 program yang dijalankan di komuniti terpilih.

 

•  PEKERTI@Institut

  1. Pada tahun 2015, Program PEKERTI disebar luas kepada pelajar Kolej Komuniti melalui perlaksanaan Program Rintis PEKERTI@Institut. Program ini dijalankan secara kolaborasi strategik di mana program dilaksanakan oleh pensyarah Kolej Komuniti yang telah dilatih melalui Bengkel Kejurulatihan (TOT) kepada pelajar kolej masing-masing. Program ini tidak dapat diteruskan pada tahun 2016 kerana kekangan peruntukan dan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2017.
  2. Manakala pada tahun 2021, perluasan program PEKERTI@Institut telah mendapat kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dan program telah dijalankan di semua 21 buah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) seluruh Malaysia.
  3. Sehingga tahun 2021, seramai 2,161 orang peserta telah terlibat dalam program ini melalui 50 buah program.

 

•  Pembangunan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial LPPKN

Bagi menyokong pelaksanaan Program PEKERTI, LPPKN telah membangunkan beberapa modul yang diguna pakai dalam melaksanakan program advokasi.

  • Modul Cakna Diri Remaja
  • Modul Cakna Diri (Edisi Ibu Bapa)
  • Modul SRH for Boys
  • Modul ACE (Accurate, Comprehensive, Effective)

 

Sumber : Dasar Serta Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022-2025