• Tarikh Kemaskini 04 April 2023

1. Saya telah melakukan ujian Pap smear, adakah saya masih perlu melakukan ujian HPV DNA?

Ya, perlu. Ini kerana ujian Pap smear dilakukan bagi mengesan kehadiran sel-sel pra kanser atau sel-sel kanser di serviks. Manakala ujian HPV DNA pula adalah lebih berteknologi tinggi di mana dengan mengambil sampel DNA pada bahagian vagina boleh mengesan jangkitan HPV berisiko tinggi sebelum bertukar menjadi sel kanser.

2. Sekiranya keputusan ujian HPV DNA saya disahkan positif HPV berisiko tinggi, adakah saya menghidap kanser
 serviks?


Keputusan positif jangkitan HPV jenis berisiko tinggi bagi ujian HPV DNA tidak menunjukkan anda menghidap kanser serviks, tetapi ia adalah tanda amaran yang menunjukkan bahawa anda mempunyai risiko untuk mendapat kanser serviks. Sila dapatkan nasihat daripada doktor untuk rawatan susulan selanjutnya.

3. Saya pernah berkahwin dan telah berpisah dengan pasangan beberapa tahun yang lalu. Adakah saya juga perlu
 menjalani ujian HPV DNA?


Ya. Setiap wanita yang telah melakukan hubungan seksual adalah berisiko untuk dijangkiti HPV. Jangkitan HPV boleh kekal di dalam badan untuk satu tempoh tanpa menunjukkan sebarang gejala. Jangkitan HPV hanya boleh dikesan setelah wanita tersebut melakukan ujian HPV DNA.

4. Saya telah melakukan ujian HPV DNA pada tahun lepas, adakah saya perlu melakukan sekali lagi pada tahun ini?


Kekerapan saringan ujian HPV DNA adalah bergantung kepada keputusan ujian. Sekiranya keputusan normal, ujian HPV DNA boleh dilakukan secara berkala 5 tahun sekali. Jika keputusan abnormal, wanita tersebut akan dirujuk untuk rawatan susulan bergantung kepada jenis HPV yang dijangkiti.

5. Bolehkah wanita yang belum berkahwin menjalani ujian HPV DNA?


Boleh, jika wanita tersebut aktif hubungan seksual. Namun, perlu mengisi borang persetujuan sebelum melakukan ujian HPV DNA.

6. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan?


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Klinik Nur Sejahtera LPPKN atau hadirkan diri ke Klinik Nur Sejahtera yang berhampiran anda :

Brochure HPV DNA
Klinik Nur Sejahtera LPPKN