• Tarikh Kemaskini 04 April 2023

1. Siapa yang memerlukan Mamogram?

Mamogram adalah pemeriksaan saringan sinar-x yang dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser payudara (KPD) iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai pada payudara. Semua wanita yang berumur 40 tahun ke atas boleh menjalani pemeriksaan ini.

2. Bagaimana Mamogram dilakukan?
 

Pemeriksaan mamogram dilakukan oleh Juru X-Ray wanita. Ia mengambil masa selama 10 minit hingga 30 minit. Pemeriksaan mamogram adalah selamat kerana radiasinya adalah di tahap yang sangat rendah.

Anda diperlukan untuk mendedahkan bahagian dada dan kemudian payudara anda akan diletakkan di antara 2 plat yang terdapat pada mesin. Dedahan sinar-X akan dibuat dan 2 keping filem sinar-X akan diambil bagi setiap sebelah payudara mengikut sudut yang berlainan.

3. Berapa ramaikah wanita yang dikesan mengidapi Kanser Payudara (KPD) setiap tahun?
 

Kanser Payudara (KPD) merupakan kanser pembunuh utama di kalangan wanita Malaysia. Daftar Kanser Kebangsaan 2003 melaporkan seramai 3738 kes baru dikesan pada tahun 2003. Setiap seorang dalam 19 orang wanita adalah berisiko dalam jangkahayat.

Walaubagaimanapun, lebih kurang 2 peratus Kanser Payudara (KPD) berlaku pada wanita yang berumur kurang dari 30 tahun. Secara am, `survival rate` 5- tahun untuk Kanser Payudara (KPD) adalah 75 peratus, iaitu 75 daripada 100 wanita yang mendapat KPD tahun ini akan hidup 5 tahun dari sekarang. Juga, sekiranya KPD dikesan pada peringkat awal, 93 dari 100 wanita akan hidup 5 tahun.

4. Adakah Mamogram menyebabkan rasa sakit?


Tekanan yang dikenakan untuk memampatkan tisu payudara mungkin menyebabkan rasa tidak selesa tetapi bukan sakit. Mamogram perlu dilakukan pada waktu di mana payudara adalah tidak sakit.

5. Berapa kerapkah Mamogram perlu dilakukan?


Secara umumnya, wanita berusia 40-49 tahun perlu melakukan setiap tahun dan wanita berusia 50 tahun ke atas perlu melakukannya setiap 2 tahun sekali.

6. Di manakah saya boleh mendapatkan dan menyertai Program Subsidi Mamogram ini?


Wanita yang berminat boleh memohon melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh Malaysia atau hadir ke Klinik Nur Sejahtera yang berhampiran anda. Pemohon yang layak akan menjalani pemeriksaan klinikal payudara di Klinik Nur Sejahtera LPPKN terlebih dahulu sebelum dirujuk untuk menjalani ujian mamogram  :

Brochure Subsidi Mamogram
Klinik Nur Sejahtera LPPKN