-
Tarikh Kemaskini 08 December 2021
KUALA LUMPUR, 17 Nov 2021 - Seperti kebiasaan sejak dari tahun 2006, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menganjurkan Persidangan Kependudukan Kebangsaan pada setiap tahun. Dengan penjenamaan baharu, Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2021 (PERKKS 21) kali ini diadakan dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) dan WMIT Group Sdn. Bhd.
PERKKS 21 ini adalah bertujuan untuk membincangkan isu semasa dan cabaran dinamik penduduk dan keluarga, memberi peluang kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka serta mengusulkan cadangan penambahbaikan terhadap dasar dan program sedia ada. PERKKS 21 berlangsung pada 16 hingga 17 November 2021 (Selasa dan Rabu) secara dalam talian dan dirasmikan oleh YB. Dato’ Mohd Nizar Haji Zakaria, Pengerusi LPPKN. Tema “Penduduk dan Keluarga Berkualiti, Pemangkin Pembangunan Lestari” telah dipilih selaras dengan matlamat dan gagasan Kerajaan, “Keluarga Malaysia” dan rangka tindakan global untuk mencapai masa depan yang baik dan mampan iaitu Sustainable Development Goals (SDG). PERKKS 21 juga merupakan salah satu acara bersempena meraikan Bulan Keluarga Malaysia yang disambut sepanjang bulan November 2021.
Sebanyak lima (5) bidang utama yang difokuskan dalam PERKKS 21 iaitu; (i) Kependudukan dan Kesihatan Reproduktif; (ii) Keluarga dan Cabaran Norma Baharu; (iii) Belia, Teknologi, Penyelidikan dan Pembangunan; (iv) Kesaksamaan Gender, Ekuiti dan Pemerkasaan Wanita; dan (v) Keselamatan Makanan dan Perubahan Iklim.
PERKKS 21 turut menampilkan Dr. Asa Torkelsson, Perwakilan Tetap UNFPA Malaysia untuk menyampaikan Ucaptama dan ahli panel yang tidak asing lagi bagi mengupas isu kependudukan dan kekeluargaan negara dalam sesi plenari iaitu Dato’ Dr. Narimah Awin (Mantan Pengerusi LPPKN & Penasihat Teknikal Hak Kesihatan Reproduktif & Seksual), En. Hairil Fadzly Md Akir (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), LPPKN), Dr. Vellapandian Ponnusamy (Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia), Prof. Dr. Sarinah Low Abdullah (Timbalan Pengarah Eksekutif, Institut Asia-Eropah, UM) dan Dr. Hezri Adnan (Pengarah Eksekutif, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)).
Keseluruhannya, seramai 252 orang peserta termasuk pembentang yang terdiri daripada warga LPPKN, UM, UNFPA, WMIT serta ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan siswazah daripada pelbagai bidang yang berkaitan kependudukan dan kekeluargaan telah mendaftar bagi menyertai PERKKS 21. Manakala sejumlah 111 artikel dan 16 poster penyelidikan akan dibentangkan oleh ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan siswazah daripada pelbagai bidang yang berkaitan kependudukan dan kekeluargaan.
Bagi mengiktiraf penghasilan artikel penyelidikan yang terbaik, penganjuran PERKKS 21 kali ini turut menyediakan anugerah Best Paper Award dan Best Poster Award. Pemilihan artikel dan poster terbaik ini dinilai berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh para juri yang juga pakar dalam setiap bidang liputan untuk persidangan ini. Artikel yang terpilih juga berpeluang untuk diterbitkan dalam jurnal terindeks yang telah dikenalpasti.
Kejayaan penganjuran PERKKS 21 kali ini adalah platform terbaik kepada para pakar, ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan swasta, dan juga pelajar universiti dari pelbagai bidang untuk membentang, menyebarluas hasil kajian, mewujudkan ruang perkongsian idea, seterunya menjadi medan perbincangan ilmiah berkenaan isu kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif semasa. PERKKS 21 juga secara tidak langsung dapat memantapkan jalinan kerjasama dan kolaborasi di antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
LPPKN mengharapkan melalui perkongsian idea dan penemuan baharu yang diperoleh dari PERKKS 21 ini mampu dijadikan sebagai input utama dalam penggubalan dasar dan pembangunan program serta intervensi bersesuaian oleh pihak Kerajaan.