-
Tarikh Kemaskini 27 November 2023
‘Penduduk dan Keluarga Mampan, Membangun Malaysia MADANI’ merupakan tema bagi Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 22) pada tahun ini.
Selain membincangkan isu semasa dan cabaran dinamik penduduk dan keluarga, PERKKS 23 memberi peluang kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka serta mengusulkan cadangan penambahbaikan terhadap polisi dan dasar sedia ada. Enam (6) bidang utama akan diulas di PERKKS 23 meliputi (i) Isu Kesuburan dan Implikasinya Terhadap Pertumbuhan dan Struktur Penduduk; (ii) Transisi Demografi, Penuaan, Migrasi dan Urbanisasi Serta Implikasinya Terhadap Kebajikan Sosial, Pasaran Buruh dan Dasar Awam; (iii) Isu Gender, Pemerkasaan Wanita dan Keluarga, Penjagaan Serta Pengabaian Kanak-kanak dan Warga Emas; (iv) Interaksi Penduduk dan Alam Sekitar, Kesan Pertumbuhan Penduduk Terhadap Sumber Asli, Perubahan Iklim, dan Pembangunan Mampan; (v) Dasar dan Program Kependudukan dan Pembangunan, Merangkumi Perancangan Keluarga, Kesihatan Reproduktif, Pendidikan, dan Strategi Pengurangan Kemiskinan; dan (vi) Kaedah pengumpulan, Analisis dan Penyebaran Data Untuk Penyelidikan dan Dasar Berkaitan Kependudukan.
Untuk tahun ketiga berturut-turut, PERKKS 23 dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) dan MERCK Malaysia. Penglibatan MERCK Malaysia dalam PERKKS 23 adalah untuk berkongsi kepakaran dalam bidang kependudukan dan kesihatan reproduktif dalam penerbitan dan perkongsian hasil penyelidikan selain mewujudkan platform untuk pakar pelbagai disiplin bertukar pandangan dalam membangunkan penerbitan khusus berkaitan cadangan dasar dan strategi yang perlu diambil oleh negara, dengan merujuk kepada “Fertility Policy and Practice, a Toolkit for the Asia Pacific Region”.
PERKKS 23 berlangsung pada 21 hingga 22 November 2023 (Selasa dan Rabu) bertempat di Pulse Grande Hotel, Putrajaya dan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Turut ditampilkan, Dr. Asa Torkelsson, Perwakilan Tetap UNFPA Malaysia untuk menyampaikan Ucaptama dan ahli panel yang tidak asing lagi bagi mengupas isu kejatuhan kadar kesuburan dalam sesi plenari termasuklah YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar, YBrs. Encik Hairil Fadzly Md Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) dan Emily Tiemann, Pengurus, Economist Impact, Singapura.
Persidangan ini juga berjaya menghimpunkan sejumlah 75 pembentangan lisan dan 10 poster penyelidikan yang dibentangkan oleh ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan siswazah daripada pelbagai bidang yang berkaitan kependudukan dan kekeluargaan. Bagi mengiktiraf penghasilan artikel penyelidikan yang terbaik, penganjuran PERKKS 23 kali ini turut menyediakan anugerah Best Paper Award dan Best Poster Award. Hasil penulisan boleh didapati melalui laman sesawang Malaysia Population Research Hub (MPRH) melalui pautan mprh.lppkn.gov.my .
PERKKS 23 merupakan platform terbaik kepada pakar, ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan swasta, dan juga pelajar universiti dari pelbagai bidang untuk membentang, menyebarluas hasil kajian, mewujudkan ruang perkongsian idea, dan menjadi medan perbincangan ilmiah berkenaan isu kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta memantapkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
LPPKN mengharapkan melalui perkongsian idea dan penemuan baharu yang diperoleh dari PERKKS 23 ini mampu dijadikan sebagai input utama dalam penggubalan dasar dan pembangunan program serta intervensi bersesuaian oleh pihak Kerajaan.