-
Tarikh Kemaskini 27 September 2024
KUALA TERENGGANU, 26 SEPTEMBER 2024 – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus mempergiat advokasi dan promosi perancang keluarga bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kaedah serta keperluan perancang keluarga melalui pelaksanaan Kempen Bulan Perancang Keluarga 2024 dengan tema “Merancang Keluarga Sejahtera” sepanjang bulan September ini.
Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024 membariskan tiga (3) ahli panel iaitu Dr. Malini Binti Mat Napes, Pakar Perubatan Reproduktif dan Pensyarah Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Siti Khatijah Binti Ismail, Pensyarah Pengajian Kontemporari Islam, Universiti SultanZainal Abidin (UniSZA), Puan Nur Syahirah Binti Sopri, Pengerusi Kelab Beliawanis, Cawangan Besut, Terengganu dan Tuan Muhammad Fadhiil Jamil selaku moderator. Seramai 180 peserta hadir secara fizikal dan forum ini turut disiarkan secara dalam talian di media sosial rasmi LPPKN.
Turut hadir pada majlis ini, Dr. Mohd Azizuddin Mohd Yussof, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) mewakili Ketua Pengarah LPPKN dan Tengku Aira Tengku Razif,Timbalan Perwakilan UNFPA Malaysia.