-
Tarikh Kemaskini 26 January 2026
LPPKN PERAK, 22 Januari 2026 - YBhg. Dato' Haji Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke LPPKN Negeri Perak pada hari ini dalam Progam Inspirasi Ketua Pengarah LPPKN bersempena Sambutan 60 Tahun LPPKN.
Lawatan kerja beliau bermula dengan melawat Klinik NUR Sejahtera LPPKN Seri Manjung dan ketibaan beliau telah disambut mesra oleh YBrs. En. Chai Cheng Ho @ Dennis Chai, Pengarah LPPKN Negeri Perak.
YBhg. Dato' telah mengadakan sesi ramah mesra bersama semua anggota yang bertugas di KNS LPPKN Seri Manjung dan menerima taklimat berkenaan operasi KNS daripada Ketua KNS LPPKN Seri Manjung.
Seterusnya, lawatan kerja beliau diteruskan lagi dengan melawat kerja-kerja menaiktaraf, pembaikan dan penyelenggaraan Klinik NUR Sejahtera LPPKN Ipoh iaitu Projek di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Tahun 2025, Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12).
Pada sebelah petang, YBhg. Dato' berbesar hati untuk beramah mesra bersama seluruh warga kerja Pejabat Negeri dan Klinik NUR Sejahtera LPPKN Ipoh yang diadakan di Bilik Mesyuarat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Aras 2, Blok B, Bangunan Persekutuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Perak.
Dalam pertemuan ini, beliau menyampaikan beberapa amanat penting yang menyentuh halatuju LPPKN, berkongsi aspirasi, menerangkan kepentingan penerapan Nilai Bersama LPPKN (K - Kerja Berpasukan, A - Amanah, S - Sayangi Organisasi, I - Ikhlas, H - Hormat) dan menggesa setiap anggota memainkan peranan dalam merealisasikan visi organisasi sebagai peneraju kesejahteraan keluarga.
Seterusnya, YBhg. Dato' turut berbesar hati untuk meneruskan lawatan kerja rasmi beliau dengan mengadakan pertemuan bersama semua Warga Kerja Klinik NUR Sejahtera LPPKN Tanjong Malim dan diberi penerangan berkaitan pengoperasian KNS oleh Ketua KNS LPPKN Tanjong Malim serta dibawa melawat keseluruhan Bangunan KNS sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.
Turut sama dalam lawatan kerja ini adalah YBrs. En. Abdul Halil bin Omar, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, LPPKN.



