• Tarikh Kemaskini 02 December 2024

KUALA LUMPUR, 1 DISEMBER 2024 – Hari ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut ulang tahun ke-45 perkhidmatan subfertiliti. Acara sambutan diadakan di Dewan Besar, Ibu Pejabat LPPKN, Jalan Raja Laut. 


 

“Tahniah diucapkan kepada LPPKN yang telah memberi sumbangan yang signifikan kepada perkhidmatan subfertiliti dalam negara sejak 1979. Ia adalah satu tempoh cukup matang dalam bidang ini serta pelbagai kejayaan dilakar mengkagumkan bagi perkhidmatan subfertiliti” ujar YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan majlis di sini.

 


 

Majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 diadakan bagi meraikan anak-anak hasil rawatan perkhidmatan subfertilitii di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara klien dan anggota LPPKN disamping memberi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perkhidmatan subfertiliti LPPKN.
Di majlis yang sama, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri turut melancarkan perkhidmatan Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP) yang baharu dan kempen #lebihawallebihbaik.

 


 

Perkhidmatan baharu ini bakal dilengkapi teknologi terkini dan barisan doktor pakar khusus bagi membantu pasangan yang menginginkan cahaya mata tetapi menghadapi kekangan mendapatkan rawatan kesuburan di fasiliti sedia ada. Klinik Fertiliti LPPKN FPP ini beroperasi di Aras Bawah, Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. LPPKN komited untuk memberikan rawatan yang terbaik dengan pelbagai pilihan rawatan kepada pasangan selain memendekkan tempoh menunggu giliran dan rawatan. 

 


 

Turut hadir pada majlis ini, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato Sri Rohani Karim, Pengerusi LPPKN dan YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN.