-
Tarikh Kemaskini 29 October 2024
28 Oktober 2024, KUALA LUMPUR : YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya selaku Presiden Asian Forum Of Parliamentarians On Population And Development (AFPPD) mengetuai rombongan lawatan kerja rasmi AFPPD ke Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Ketibaan beliau yang diiringi oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Tuan Howard Lee Chuan How, Timbalan Presiden AFPPD, serta beberapa ahli parlimen yang lain yang menganggotai JK AFPPD.
Tujuan lawatan kerja Jawatankuasa AFPPD ini adalah untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih jelas berhubung fungsi dan peranan LPPKN dalam isu kependudukan dan perancangan keluarga serta melawat kemudahan yang ada di Bangunan LPPKN.
Untuk makluman, AFPPD ini merupakan satu jaringan pertubuhan parlimen di rantau Asia-Pasifik yang memfokuskan isu-isu kependudukan, populasi dan Pembangunan. AFPPD telah ditubuhkan di Negara Jepun pada tahun 1982. Sehingga kini AFPPD dianggotai oleh 30 buah negara termasuk Malaysia.
Di Malaysia, AFPPD Malaysia merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mempunyai seramai 120 orang ahli yang terdiri daripada Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat.
Turut sama hadir dalam lawatan kerja ini adalah YBhg Tn. Hj. Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN serta warga LPPKN yang telah menyambut mesra Ahli Jawatankuasa AFPPD ke Bangunan LPPKN.