• Tarikh Kemaskini 19 December 2019

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat LPPKN telah diadakan di Dewan Besar, Tingkat 22, Bangunan LPPKN. Acara yang bermula sejak jam 11.30 pagi disambut cukup meriah kali ini dengan tema "Raya Dahulu Kala" menerima kehadiran para jemputan, kakitangan dan anak-anak Pusat Permata TIMANG yang lengkap berpakaian hari raya. Di samping menikmati jamuan yang menyelerakan, majlis kali ini juga turut dimeriahkan lagi dengan persembahan sketsa dan pertandingan gerai tercantik dari pelbagai Bahagian yang terdiri daripada Bahagian Pembangunan Keluarga (BPK), Bahagian Perancangan Korporat (BKPK), LPPKN Negeri Wilayah Persekutuan, Bahagian Reproduksi Manusia (BRM), Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan (BKPK), Bahagian Kependudukan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia(BPSM) dan Bahagian Teknologi Maklumat (BTM).

Persembahan sketsa telah dimenangi oleh Bahagian Pembangunan Keluarga (BPK) dengan tajuk "Keluarga Kodak vs Keluarga Selfie", Tempat Kedua dimenangi oleh Pejabat Ketua Pengarah dengan tajuk "Raya Dahulu dengan Raya Sekarang" dan Tempat Ketiga telah dimenangi oleh Bahagian Reproduksi Manusia (BRM). Manakala pertandingan gerai tercantik telah dimenangi oleh LPPKN Negeri Wilayah Persekutuan, Tempat Kedua dimenangi oleh Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) dan Tempat Ketiga dirangkul oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM). 

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Mariam Mas binti Yacob (Pengerusi LPPKN), YBhg. Dato' Dr Siti Norlasiah Ismail (Ketua Pengarah LPPKN), Ahli Lembaga Pengarah LPPKN dan Pengarah-Pengarah Negeri. Terima kasih diucapkan.