-
Tarikh Kemaskini 31 October 2025
30 Oktober 2025 : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memperkukuh kolaborasi strategik dalam usaha memperkasa institusi keluarga dan pengurusan krisis rumah tangga secara lebih holistik.
YB. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya menyambut baik kerjasama LPPKN dan JPN dalam Projek Rintis Badan Pendamai sebagai inovasi baharu dalam sistem sokongan keluarga negara. Projek ini menggabungkan prosiding tribunal dan sesi kaunseling yang sebelum ini dijalankan secara berasingan bagi menyediakan satu saluran yang lebih teratur, profesional dan menyeluruh kepada pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga.
MoU yang ditandatangani pada hari ini melibatkan kerjasama dalam tiga bidang utama iaitu:
- Latihan dan Pembangunan Kepakaran - LPPKN bertindak sebagai pakar rujuk dalam latihan, pembangunan model dan garis panduan bagi pelaksanaan Badan Pendamai;
- Penyelidikan dan Program Pembangunan - Kedua-dua pihak akan melaksanakan penyelidikan dan program berkaitan bagi menambah baik pelaksanaan dan keberkesanan perkhidmatan; dan
- Perluasan Projek Rintis Badan Pendamai - Projek yang kini dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diperluas ke negeri-negeri lain secara berfasa.
KPWKM menegaskan bahawa kolaborasi strategik ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara agensi malah memperteguh harapan agar setiap keluarga di Malaysia dapat menikmati kehidupan yang harmoni, berdaya tahan dan penuh kasih sayang.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri(KDN), YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri KDN, YBhg. Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato' Badrul Hisham Alias, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan serta Agensi KPWKM dan KDN.



