• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

Program Teen Talk bersama YAB Datuk Seri HJ Mohd Ali Bin Mohd Rustam telah berlansung pada 10 April 2013 (Rabu) bertempat di Pusat Remaja kafe@TEEN Tingkat 1, Wisma UTC Melaka, jam 8.00 malam. Program ini dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka. Program ini telah berlangsung selama 30 minit secara santai bersama YAB Ketua Menteri Melaka.

Objektif utama program ini ialah menjadikan YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam sebagai idola dan inspirasi kepada remaja untuk berjaya dalam menempuh cabaran dan dugaan hidup yang penuh mencabar pada masa kini.

 Selain daripada itu, program ini dijadikan platform kepada remaja untuk mengenali Ketua Menteri Melaka dengan lebih dekat. Program ini juga diadakan untuk memperkenalkan kafe@TEEN sebagai pusat sehenti bagi remaja melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah dengan dipantau oleh Teen Educator kafe@TEEN.

 

Sepanjang program ini berlangsung, YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam telah berkongsi cerita kepada para remaja tentang zaman kanak-kanak hingga remaja yang pernah beliau lalui sehingga menjadi tokoh yang Berjaya dan disegani pada hari ini.

Antara pengalaman remaja beliau yang telah dikongsi bersama ialah kehidupan beliau yang berasal dari keluarga yang serba kekurangan di mana beliau pernah mengambil upah menorah getah dan mencuci kereta. Ciri-ciri kepimpinan beliau telah terdidik sejak remaja berikutan beliau pernah menggalas tanggungjawab untuk menyara keluarganya selepas kematian ayahanda beliau. Sungguhpun begitu, beliau merupakan seorang remaja yang sangat aktif dalam Gerakan Belia 4B sehingga dikenali sebagai remaja yang amat dikenali dan disenangi dengan pelbagai aktiviti sukarelawan yang beliau sertai.


Seramai 100 remaja telah sama-sama menyertai program ini yang terdiri daripada para ahli Sahabat kafe@TEEN, pelajar dari Cosmopoint, Multimedia University (MMU), International Medical University Malacca, Kompleks Anak-Anak Yatim Fatimah Al-Zahra, Rumah Budak Laki-Laki Abdul Aziz, Malaysian Indian Congress Malacca, Sri Ramakrishna Ashram Melaka, Sekolah Menengah Tinggi Lelaki Melaka, remaja dari Taman Rumahku Syurgaku dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (Mozac) Melaka.

Tetamu kehormat yang telah hadir pada program santai ini adalah Dr.Anjli Panalal Doshi selaku Pemangku Ketua Pengarah LPPKN, bersama Encik Nasaruddin Bin Abdul Muttalib Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Bibi Azlilee Abdullah, Pengarah LPPKN Negeri Melaka, Tuan Hj Ramli Bin Shahbudin, Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Encik Noor Hisamsol Bin Md Sidik, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Melaka dan Encik Mohd Yazid Bin Hamzah Penyelaras JKM UTC Melaka.




Sumber : LPPKN Melaka