• Tarikh Kemaskini 19 January 2026

LPPKN telah dijemput untuk menyertai Global Caregiver Forum 2026 anjuran UNICEF dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) dengan sokongan Kerajaan Sepanyol, berlangsung pada 15–16 Januari 2026 di CaixaForum Madrid, Sepanyol. Bersempena dgn forum berkenaan, YBhg Dato’ Ketua Pengarah LPPKN turut dijemput sebagai ahli Panel bagi membincangkan pengalaman Malaysia berkaitan pelaksanaan dasar dan program keibubapaan di era digital.

 

Forum ini menghimpunkan pemimpin, pakar dan organisasi antarabangsa dari lebih 30 negara bagi merangka hala tuju peluasan program keibubapaan di peringkat global. Delegasi Malaysia turut disertai wakil Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak serta UNICEF Malaysia.

Bersempena dengan penyertaan berkenaan, LPPKN telah berpeluang mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan bersama Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Kitty van der Herinde mengenai kerjasama dalam program keibubapaan dan pembangunan kanak-kanak.

Perbincangan turut menyentuh pelaksanaan Dasar Keluarga Negara, pengukuhan kerjasama strategik dalam program keibubapaan termasuk penglibatan bapa, program co-parenting, keibubapaan digital, sokongan teknikal berasaskan bukti, selari dengan komitmen membina ekosistem keluarga yang mampan dan berdaya tahan.