-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
BANGI, MEI 30, 2014 – Seramai 50,569 klien telah mendapatkan perkhidmatan Kaunseling LPPKN sejak dari tahun 2006. Perkhidmatan Kaunseling perlu dijadikan satu outlet oleh pasangan suami isteri untuk membantu menyelesaikan masalah rumahtangga. Perkhidmatan Kaunseling boleh membantu di peringkat awal masalah rumahtangga sebelum ianya merebak menjadi satu konflik.
Masyarakat harus mengubah paradigma pemikiran mereka dari melihat pasangan yang mengikuti kaunseling sebagai pasangan yang bermasalah. Ini dinyatakan oleh YB. Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Program Bicara Sakinah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Kaunselor Malaysia telah menyediakan direktori seramai 5,082 kaunselor yang berdaftar di seluruh negara. LPPKN juga menyediakan perkhidmatan sokongan keluarga, kaunseling perkahwinan dan kaunseling keluarga menerusi kaunselor sedia ada serta berdaftar. Sehingga kini seramai 69 orang kaunselor (15 orang kaunselor tetap dan 54 orang kaunselor panel) menyediakan perkhidmatan ini di semua LPPKN Negeri dan Ibu Pejabat serta di 59 Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh negara.
Menurut YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim lagi, LPPKN sedang meluaskan lagi perkhidmatan kaunseling keluarga dengan menjalinkan kerjasama bersama agensi-agensi lain seperti JAKIM, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kumpulan Perwani dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan masyarakat mendapat akses perkhidmatan kaunseling dalam mendepani pelbagai cabaran hidup dan konflik keluarga.
Program Bicara Keluarga Sakinah ini bertujuan untuk membina keluarga yang mempunyai keunggulan sahsiah di kalangan masyarakat dan dapat menggerak individu yang lain serta peka terhadap isu semasa dipersekitaranya. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila dianggarkan seramai 500 orang terdiri dari pasangan suami isteri muda, ibu tunggal, bapa tunggal dan masyarakat umum meghadiri program ini.



