• Tarikh Kemaskini 20 August 2025

Kadar Kesuburan Jumlah (Total Fertility Rate - TFR) di Malaysia kini berada pada tahap 1.7 pada tahun 2023, jauh lebih rendah daripada paras penggantian 2.1. Jika keadaan ini berterusan, jumlah warga emas dijangka melebihi 7.0 juta orang menjelang tahun 2040, manakala generasi muda semakin berkurang. Situasi ini memberi kesan besar kepada pasaran tenaga kerja, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan keluarga di Malaysia.

 


Menyedari cabaran besar ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama MERCK Malaysia telah menganjurkan Expert Group Meeting (EGM) Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara 2025 pada 19 Ogos 2025 bertempat di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Bank Negara Malaysia Kuala Lumpur. Seramai 35 pakar yang terdiri daripada penggubal dasar, ahli akademik, pakar perubatan kesuburan, penyelidik serta wakil sektor swasta telah duduk semeja bagi mencari solusi terbaik untuk masa depan negara. Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato' Abdul Shukur bin Abdullah.


Fokus utama perbincangan ialah bagaimana menjadikan tempat kerja lebih mesra keluarga melalui cuti bersalin dan bapa yang lebih fleksibel, waktu kerja anjal serta sokongan penjagaan anak. Selain itu, akses kepada rawatan kesuburan seperti IVF juga diberi perhatian melalui cadangan peluasan fasiliti, insentif kewangan dan perlindungan insurans.


 

Hasil daripada pertemuan ini akan dijadikan asas pengukuhan kepada Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Negara. Inilah usaha bersama bagi memastikan aspirasi reproduktif rakyat dihormati, keluarga terus sejahtera, dan kelestarian penduduk Malaysia terjamin untuk generasi mendatang.