-
Tarikh Kemaskini 25 July 2025
SERDANG, 24 JULAI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melatih seramai 2,661 wanita menerusi Program Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare dan 1,482 daripadanya layak ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM4).
Perkara ini diumumkan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa perasmian Majlis Konvokesyen MamaCare ke-4 yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah, Universiti Putra Malaysia.
Dato’ Sri Hajah Nancy menjelaskan bahawa program Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare ini mendapat pengiktirafan National Occupational Skills Standard (NOSS) dan dibangunkan LPPKN dengan kerjasama Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Program ini telah berjaya memanfaatkan hampir 60,000 wanita yang telah mendapat perkhidmatan daripada pengamal MamaCare.
Program MamaCare merupakan program latihan kapasiti kesejahteraan wanita bagi mengangkat amalan tradisional penjagaan ibu selepas bersalin. Kemahiran profesional ini turut memberi pulangan yang signifikan bukan sahaja dalam aspek kewangan kepada pengamal MamaCare, tetapi juga mutu perkhidmatan yang membawa kepada peningkatan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap industri penjagaan ibu selepas bersalin.
Usaha LPPKN melalui penawaran latihan berstruktur dan bertauliah MamaCare ini adalah sebahagian daripada komitmen KPWKM dan Kerajaan MADANI dalam mendepani kekurangan tenaga kerja berkemahiran di samping memastikan ia terus kekal relevan dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
LPPKN telah menyediakan lima (5) buah Pusat Penilaian Amali bagi latihan Ibu selepas bersalin iaitu di Pusat Keluarga LPPKN Pulau Pinang, Klinik Nur Sejahtera Dungun, Pusat Keluarga LPPKN Seremban, Klinik Nur Sejahtera Kempas dan Ibu Pejabat LPPKN.
Turut hadir pada majlis ini ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato Sri Rohani Karim, Pengerusi LPPKN, dan Dr. Goh Cheng Soon, Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.



