-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pekerja Malaysia mengetuai senarai teratas yang bekerja jauh dari pejabat, dengan 53 peratus eksekutif tempatan bekerja secara fleksibel bagi tempoh sekurang-kurangnya separuh minggu berbanding 48 peratus purata global, demikian menurut 'Petunjuk ekonomi Global Regus 2013'.
Kajian oleh penyedia pekerjaan global, Regus Research, yang membabitkan lebih 26,000 pengurus perniagaan di 90 negara, merumuskan bahawa profesional yang 'terikat' bekerja di pejabat, akan menjadi minoriti tidak lama lagi.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark Dixon berkata berdasarkan separuh daripada tenaga kerja dunia kini menikmati suasana kerja fleksibel, beberapa ketua eksekutif mungkin bimbang terhadap aspek pengurusan dan memberi motivasi dari jauh.
Kajian itu juga menunjukkan 63 peratus ketua eksekutif di Malaysia percaya pekerja jarak jauh boleh diurus dengan berkesan berbanding 55 peratus di peringkat global, dan sebilangan perniagaan kini mendapati semakin sukar mengurus pekerja jarak jauh mereka.
Beliau berkata pengalaman kerja fleksibel memberi nilai khusus kepada pekerja muda yang mampu mencorakkan interaksi baharu antara pengurus dan anggota pasukan.
Tiga puluh sembilan peratus pengurus Malaysia berpendapat pekerja jarak jauh menggalakkan pekerja muda lebih bertanggungjawab manakala 61 peratus (berbanding 37 peratus di dunia) menggunakan pemantauan khusus yang cekap.
Sumber : BERNAMA
Gambar adalah hiasan sahaja