-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
SELANGOR, 15 NOVEMBER 2013, YBhg. Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah merasmikan majlis “Flag Off” Pra Uji Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang. Majlis ini diadakan bersempena dengan perlaksanaan prauji KPKM-5 yang akan dimulakan dari 15 hingga 24 November 2013 di enam buah daerah terpilih di negeri Selangor.
Kajian ini merupakan siri yang kelima dalam Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh LPPKN setiap sepuluh tahun sejak 1974. Kajian ini bertujuan untuk menyediakan data siri masa berkaitan demografi, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif penduduk di Malaysia. Hasil kajian ini akan menjadi input berguna dalam perancangan sosio-ekonomi dan pembangunan Negara.
PraUji KPKM-5 yang dilaksanakan ini bermatlamat bagi menguji perancangan modus operandi dan kesesuaian instrument yang bakal digunakan dalam kajian sebenar pada tahun 2014 nanti. Dalam tempoh 10 hari di lapangan, para pegawai dari LPPKN akan mengenalpasti sebanyak 240 buah rumah kediaman di kawasan Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Petaling. Melalui kaedah temubual secara bersemuka, responden akan ditemubual untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu-isu seperti latar belakang isi rumah, tempat kediaman, perkahwinan, kesuburan, perancangan keluarga, kehidupan berkeluarga, amalan kesihatan, warga emas, dan termasuk sosialiasisi dan seksualiti remaja.
Beliau yang sebelum itu, telah merasmikan majlis Bengkel Latihan Penemubual Pra Uji KPKM-5, berharap agar perlaksanaan pra uji ini akan mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. Beliau memohon agar responden di rumah kediaman terpilih dapat memberikan kerjasama yang baik sewaktu lawatan diadakan. Beliau juga berharap agar hasil perlaksanaan pra uji ini mampu menjadi sandaran dalam merangka perancangan kajian sebenar pada tahun hadapan nanti. Turut hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) YBrs. Dr. Anjli Doshi Gandhi dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan LPPKN.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan pra uji KPKM-5, sila hubungi Bahagian Kependudukan, LPPKN iaitu En. Ahmad Hashimi Mohammad atau En. Mohd Firdaus Mazalan di talian 03-26937555 sambungan 1510 atau 1610