• Tarikh Kemaskini 18 August 2026

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus komited dalam memastikan pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI LPPKN di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan komuniti.

Sehubungan itu, Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI LPPKN Bil. 2/2026 telah diadakan di Dewan PAWE Kampung Tanah Liat dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah. Mesyuarat turut disertai wakil pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik serta wakil komuniti setempat.

Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi menyelaras perancangan, memperincikan skop pelaksanaan serta meneliti kemajuan dan tindakan susulan bagi setiap inisiatif yang telah dikenal pasti dipantau seperti projek infrastruktur pemasangan lampu solar, kerja pemasangan lantai di Masjid Tuan Abdullah, pembaikan surau Kg. Tanah Liat selain status kerja-kerja fizikal sosio ekonomi komuniti (agro pelancongan) berkaitan kolam ikan talapia dan kiosk jualan komuniti. Turut dibincangkan berkaitan penubuhan Koperasi KASIH Kg Tanah Liat yang dalam proses pendaftaran.

Kejayaan Kampung Angkat MADANI bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut memerlukan penglibatan aktif komuniti, kerjasama strategik antara agensi serta pelaksanaan program yang mampu memberikan impak jangka panjang.

Fokus utama projek KAM adalah untuk memperkukuh kesejahteraan keluarga dan komuniti, meningkatkan kualiti persekitaran dan kemudahan setempat, memperkasa potensi sosioekonomi penduduk serta mewujudkan peluang pembangunan komuniti yang lebih mampan.

Pada masa yang sama, pelaksanaan KAM LPPKN turut memberi penekanan kepada pembangunan potensi dan identiti Kampung Tanah Liat agar aset, sumber serta keunikan setempat dapat dimanfaatkan secara optimum. Usaha ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, meningkatkan daya tarikan kampung serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk keluarga dan generasi akan datang.

“Dari keluarga yang sejahtera, lahir komuniti yang kuat. Dari kerjasama yang erat, tercipta perubahan yang bermakna.”

LPPKN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, pemimpin komuniti dan penduduk Kampung Tanah Liat atas komitmen, kerjasama serta sokongan berterusan dalam menjayakan inisiatif ini.

Dengan penyelarasan yang berkesan dan komitmen semua pihak, KAM LPPKN diyakini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah komuniti yang lebih maju, berdaya tahan, produktif, harmoni dan sejahtera.

Semoga segala usaha yang digerakkan bukan sahaja menghasilkan perubahan yang dapat dilihat secara fizikal, tetapi turut meninggalkan impak sosial dan ekonomi yang berkekalan kepada keluarga serta komuniti Kampung Tanah Liat.

KASIH Keluarga, Komuniti Sejahtera.