• Tarikh Kemaskini 19 December 2019

AMPANG, 22 Ogos: Program Tautan Kasih@Komuniti bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang telah dikelolakan oleh Unit Dasar Sosial Negara (DSN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta disokong oleh hampir 20 agensi kerajaan dan swasta yang terlibat mengadakan pameran dan jualan sepanjang hari tersebut. Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau disambut meriah oleh penduduk di sini bahkan telah sudi untuk turut serta mengecat rumah salah seorang penghuni yang telah terpilih dan meletakkan plak KASIH Keluarga sebagai tanda kenang-kenangan. Seramai hampir 500 orang telah mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk mendekatkan agensi kerajaan kepada rakyat agar mesej-mesej kerajaan dapat disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada golongan sasar kementerian khususnya. Di antara aktiviti yang diadakan ialah majlis kenduri rakyat yang dijalankan secara gotong royong, temuduga pekerjaan, demonstrasi masakan oleh Chef Florence Tan, Ceramah Keibubapaan oleh Encik Zaid Mohamad (Smart Parenting) dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman (Penceramah Bebas), pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan persembahan kebudayaan telah diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Terima kasih kepada semua penduduk dan Ahli Jawatankuasa PPR yang telah sudi menerima kehadiran kami.