-
Tarikh Kemaskini 05 December 2025
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Sosial Negara telah melancarkan Kerangka Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026 - 2030 semasa Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil. 3 Tahun 2025 di Parlimen Malaysia hari ini.
Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 merupakan satu dokumen strategik yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk membawa nilai baharu dalam memperkukuh kesejahteraan sosial serta ketahanan negara. PTDSN 2026–2030 digerakkan berdasarkan empat teras utama Dasar Sosial Negara 2030, meliputi 17 bidang keutamaan, 17 strategi dan 102 inisiatif, dengan penglibatan 32 kementerian dan agensi.
PTDSN turut memberi fokus kepada anjakan minda, termasuk memupuk sifat berdikari, inovasi dan daya tahan dalam kalangan rakyat yang merupakan nilai baharu yang ingin dibudayakan di peringkat nasional untuk mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi negara, sebagaimana digariskan dalam Dasar Sosial Negara 2030.
YAB Timbalan Perdana Menteri juga telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil. 3 Tahun 2025 yang berperanan sebagai platform yang efektif dalam memperhalusi isu-isu sosial secara holistik.
Mesyuarat pada kali ini telah memberi perhatian kepada isu gelandangan yang menjadi satu indikator penting terhadap nilai kemanusiaan dalam masyarakat dan meneliti isu kerugian besar akibat penipuan dalam talian yang kini menjadi ancaman serius terhadap keselamatan ekonomi negara.
KPWKM akan terus memperkukuh tadbir urus isu pengemis dan gelandangan melalui hala tuju baharu yang mengetengahkan penggubalan satu akta baharu yang lebih jelas, punca kuasa yang tersusun merentas agensi, serta keseimbangan antara intervensi pemulihan dan tindakan penguatkuasaanbagi menggantikan Akta Orang-Orang Papa 1977.
Semua agensi kerajaan diseru untuk mengemukakan cadangan konstruktif berasaskan nilai baharu demi memperkukuh pembangunan sosial negara yang inklusif dan menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.



