-
Tarikh Kemaskini 30 January 2026
LPPKN PERAK, 29 Januari 2026 - YBhg. Dato' Sri Rohani binti Abdul Karim, Pengerusi LPPKN telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Januari Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 dengan kerjasama Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3, PGA, Bidor, Perak Darul Ridzuan pada hari ini.
Program yang membawa pendekatan Pemerkasaan Komuniti Melalui Duta Etnik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LPPKN untuk meningkatkan kesedaran golongan wanita mengenai kepentingan menjalani saringan kanser serviks dan sekaligus dapat menarik lebih ramai wanita tampil untuk menjalani Ujian HPV DNA pada tahun 2026.
Seramai sepuluh (10) orang wakil dari kalangan etnik Orang Asli yang mewakili Pos (Pusat penempatan atau Gugusan Kampung) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah dilantik sebagai pemudahcara bagi menarik lebih ramai wanita untuk menjalani saringan kanser serviks.
Bertepatan dengan pendekatan yang dibawakan pada tahun ini, kerjasama di antara LPPKN Negeri Perak dengan Batalion 3, PGA amat bersesuaian kerana ini secara tidak langsung dapat melebarkan usaha untuk meningkatkan penyertaan wanita dari kawasan pendalaman atau komuniti terpencil untuk menjalani saringan kanser serviks. Program ini akan memanfaatkan sebahagian besar anggota Batalion 3, PGA (Unit Senoi Praaq) yang terdiri daripada kaum Orang Asli serta ahli keluarga masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan Ujian HPV DNA (Saringan Awal Kanser Pangkal Rahim) dari LPPKN.
Dalam ucapan perasmian yang berlangsung sebentar tadi, YBhg. Dato' Sri Rohani memaklumkan pada tahun 2026, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5,500,000.00 melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk LPPKN melaksanakan Saringan Awal Kanser Serviks melalui Ujian HPV DNA kepada 32,000 kumpulan sasar pada tahun ini.
Oleh itu, beliau menyeru agar lebih ramai wanita mengambil peluang dan tampil untuk menjalani saringan awal kanser pangkal rahim melalui Ujian HPV DNA. Ini kerana ianya merupakan pendekatan efektif sebagai pengesanan awal kanser serviks agar tindakan pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera sebagaimana slogan yang digunakan oleh LPPKN untuk menarik minat lebih wanita menjalani saringan ini iaitu Cepat Tahu Cepat Tindak.
Dalam majlis ini, seramai satu ratus dua (102) orang telah mengambil peluang untuk menjalani Ujian HPV DNA.
Terdahulu pelbagai pengisian telah berlangsung sebelum majlis perasmian, antaranya ceramah bertajuk Kanser Serviks: Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa yang disampaikan oleh Dr. Aidasuria binti Asari, Pegawai Perubatan Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang. Kemudiannya disusuli dengan Sesi Forum Kesihatan Serviks bertajuk Jalani Saringan Kanser Serviks: Cepat Tahu Cepat Tindak yang menampilkan dua (2) orang pejuang kanser serviks untuk berkongsi pengalaman dan nasihat kepada para wanita supaya sentiasa menjalani saringan secara berkala. Panelis terdiri daripada Pn. Zaniah binti Hashim dan Pn. Nurulhuda binti Abdullah. Sementara itu, Pn. Norhayati binti Pandak Yaacob, Jururawat Klinik NUR Sejahtera LPPKN Kuala Kangsar bertindak sebagai Moderator.
Majlis ini turut dihadiri oleh YB Dr. Mohamad Yusri Bakir, ADUN N58 Ayer Kuning, YBhg. Dato' Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, YDH SUPT. Azhar bin Haji Hashim, Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA, YBrs En. Chai Cheng Ho @ Dennis Chai, Pengarah LPPKN Negeri Perak, YBrs. Pn. Nor Fadzilah Binti Jaafar @ Jaffar, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Batalion 3, PGA, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, Pemimpin Masyarakat Tempatan dan Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).



