• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tumpuan khusus perlu diberikan terhadap kepentingan keluarga yang menjadi unit asas dalam menangani isu keganasan terhadap wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, keluarga memainkan peranan penting dalam menangani keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa.

"Saya percaya perkataan 'back to basics' adalah salah satu cara untuk kita menghadapi sebarang bentuk cabaran dan masalah termasuk isu keganasan terhadap wanita.

"Dalam hal ini, sekiranya kita memberi tumpuan kepada keluarga dalam sesebuah masyarakat, masalah tersebut dapat dicegah daripada berlaku

atau berlarutan sehingga ke tahap yang lebih kompleks," katanya ketika berucap dalam majlis Hari Wanita 2013 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Katanya, kerajaan turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan Dasar Keluarga Negara yang memberi penekanan kepada inisiatif penerapan nilai-nilai murni kekeluargaan.

"Usaha ini bagi memastikan pembangunan sosial mapan dapat dicapai, sekali gus penghayatan nilai-nilai murni boleh membentuk sesebuah keluarga yang sejahtera dan pembangunan insaniah selari dengan pembangunan fizikal," katanya.

Sementara itu, mengulas Hari Wanita 2013 Peringkat Kebangsaan, Rohani berkata, 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' adalah tema pilihan pada kali ini.

"Pemilihan tema tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk golongan lelaki tentang perkongsian hak dan tanggungjawab.

"Kesedaran ini bagi mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang sentiasa sensitif terhadap kesaksamaan gender dan bebas daripada segala bentuk diskriminasi dan keganasan," katanya.

Selain itu menurutnya, mesej 'Respek Wanita' yang ingin disampaikan bukan hanya ditujukan khas kepada kaum lelaki dalam konteks keganasan, malah turut melibatkan wanita.

"Penghormatan terhadap wanita perlu dilihat dengan lebih luas iaitu mereka juga perlu menghormati diri sendiri dan kaum hawa lain.

"Wanita perlu mempunyai solidariti dan kesatuan yang kukuh bagi memperkasakan diri mereka dalam masyarakat," katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia