• Tarikh Kemaskini 13 November 2026

 

jata

LEMBAGA PENDUDUK DAN PEMBANGUNAN KELUARGA NEGARA

 

 

SIARAN MEDIA

 

PELAJAR KELUARGA B40 SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH, WP KUALA LUMPUR TERIMA KIT SERI DARIPADA KPWKM

 

 

 

KUALA LUMPUR, 12 APRIL- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) menjadi sekolah pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima Kit Kebersihan Asas Wanita atau Kit SERI (Social Empowerment of Reproductive Health Initiatives) bagi inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Inisiatif ini mensasarkan remaja kalangan keluarga B40 bagi mengatasi isu kemiskinan haid seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 lalu.

 

YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyampaikan Kit SERI kepada 34 remaja dalam sesi menyantuni pelajar sekolah berkenaan sempena bulan Ramadan, hari ini. Dalam sesi sama, para pelajar terlibat turut didedahkan dengan pengurusan kebersihan diri melalui ceramah bertajuk “Pengurusan Haid dan Kesihatan Reproduktif”. 

 

KPWKM mensasarkan sejumlah 3,500 orang remaja perempuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan 30 buah sekolah terpilih.  Sasaran keseluruhan bagi program pemberian Kit SERI adalah seramai 130,000 remaja perempuan melibatkan 1,124 buah sekolah seluruh negara bagi tahun 2022.

 

Selain daripada pemberian Kit SERI, LPPKN turut melaksanakan advokasi melalui Program Pendidikan SERI  yang memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan kebersihan haid dan menyebar luas Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial kepada kumpulan sasar remaja dalam komuniti bandar dan luar bandar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals). Pendedahan kepada guru-guru juga diberikan bagi memastikan kelangsungan maklumat mengenai kesihatan reproduktif dan pengurusan haid ini dapat disampaikan secara optimum kepada semua lapisan pelajar di sekolah dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. KPWKM komited dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan remaja perempuan khususnya daripada keluarga B40 sentiasa terpelihara.

 

####

 

Disediakan oleh:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara