• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

JOHOR BAHRU 17 Julai - Bagi menangani masalah salah laku dan gejala sosial dalam kalangan remaja di negeri ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil inisiatif dengan mewujudkan dua pusat remaja yang dikenali sebagai kafe@Teen di bandar raya ini dan Batu Pahat.

Pegawai Psikologi LPPKN Johor, Nathir Mehamad berkata, pusat tersebut dibuka sejak Mei lalu merupakan yang pertama di negeri ini selain 10 lagi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Beliau berkata, objektif penubuhan kafe@Teen ialah menawarkan perkhidmatan kesihatan, kaunseling dan pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk remaja yang berusia 13 hingga 24 tahun.

"Biarpun baru beroperasi kira-kira dua bulan, kita sudah memberi perkhidmatan kepada kira-kira 400 remaja di dua daerah berkenaan dan berharap selepas ini akan dapat mendekati lebih ramai remaja sebagai salah satu usaha untuk membimbing mereka.

"Malah dengan adanya pusat remaja seperti ini diharap segala aktiviti serta program yang dirangka demi pembangunan sahsiah remaja di negeri ini dapat dijalankan dengan lancar," katanya selepas majlis perasmian Bengkel Remaja Unggul di sini semalam.

Bengkel yang disertai 100 pelajar Kolej Vokasional Tanjung Puteri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) itu turut dihadiri Pegawai Pembangunan Masyarakat LPPKN, Mohammad Faizal Zainal Abidin.

Bengkel tersebut diadakan dengan tujuan memberi maklumat kepada remaja mengenai kepentingan hidup tanpa keganasan serta membentuk remaja yang bertanggungjawab dan berakhlak melalui penerapan nilai murni dan pembangunan komunikasi yang berkesan.

Menurut Nathir, kafe@Teen dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

 

Sumber : Utusan Online