-
Tarikh Kemaskini 28 October 2026
YBhg. Dato’ Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Lelaki Budiman Negara Zon Tengah pada 27 Oktober 2026 di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur sekali gus melengkapkan keseluruhan siri SLU Kajian Lelaki Budiman Negara yang dilaksanakan di enam zon meliputi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Hadir sama YBrs. Encik Hairil Fadzly bin Md Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN; Puan Amirthavalli a/p A.V. Muthiah, Timbalan Pengarah (Pembangunan Komuniti), Bahagian Perkhidmatan Sosial, Kementerian Ekonomi; Encik Adzmel bin Mahmud, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN; Datuk Hajah Habsah binti Hassan, Penulis Lirik Lagu Kajian Lelaki Budiman Negara serta Profesor Dr. Salmi binti Razali, Wakil Ketua Perunding Kajian Lelaki Budiman Negara.
Pelaksanaan SLU Zon Tengah turut melibatkan LPPKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, LPPKN Negeri Selangor dan LPPKN Negeri Perak. Turut hadir Dr. Zuhrah Tan Sri Musa, Pengarah LPPKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Puan Rosmonaliza binti Abdul Ghani, Pengarah LPPKN Negeri Selangor serta Encik Chai Cheng Ho @ Dennis Chai, Pengarah LPPKN Negeri Perak.
SLU Zon Tengah menghimpunkan hampir 40 peserta dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak menjadikannya SLU terbesar dalam siri enam zon. Dua sesi libat urus dilaksanakan secara serentak bagi memperluas ruang perbincangan serta mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh daripada pelbagai pemegang taruh.
Antara peserta yang terlibat ialah wakil kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Penyertaan turut merangkumi wakil NGO, pertubuhan masyarakat dan rakan strategik antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Malaysian Mental Health Association (MMHA), Persatuan Hak Bapa Malaysia, Focus on the Family Malaysia, The Befrienders Kuala Lumpur, Adab Youth Garage (Persatuan Adab Gemilang), Persatuan Cakna Anak Malaysia serta Gabungan eHailing Malaysia (GEM)/MEDO.
Sesi ini dilaksanakan bersama perunding kajian, UiTM Technoventure Sdn. Bhd. sebagai platform untuk mendapatkan pandangan dan perspektif pemegang taruh mengenai realiti semasa, isu dan cabaran yang dihadapi golongan lelaki, faktor risiko yang mempengaruhi pembangunan dan kesejahteraan lelaki serta bentuk sokongan dan hala tuju pemerkasaan lelaki di Malaysia.
Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah LPPKN menekankan kepentingan setiap pandangan peserta direkodkan dan dianalisis secara sistematik agar hasil kajian dapat menjadi asas kepada pertimbangan dasar serta memperkukuh program dan perkhidmatan berkaitan lelaki. Beliau turut menyeru agar kerjasama merentas sektor diteruskan dalam usaha membangunkan lelaki yang sejahtera, bertanggungjawab dan berdaya tahan demi memperkukuh institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat.
Pelaksanaan SLU Zon Tengah melengkapkan siri libat urus di enam zon dan menjadi sebahagian daripada proses memurnikan Definisi dan Kerangka Lelaki Budiman, Profil Lelaki Malaysia, Model Intervensi Lelaki Budiman serta Model Pelaksanaan Nasional.
Maklumat lanjut mengenai Kajian Lelaki Budiman Negara:
https://lelakibudimannegara.pages.dev
Galeri Foto



