• Tarikh Kemaskini 22 October 2025

Delegasi Malaysia telah mengambil bahagian dalam Bengkel Mengenai Ketagihan Siber: Amalan Terbaik Untuk Melindungi Kanak-kanak Daripada Keganasan Melalui Internet di Negara Anggota OIC yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-negara Islam (SESRIC) dengan kerjasama Sekretariat Agung OIC. Bengkel ini telah berlangsung di Ibu Pejabat SESRIC di Ankara, Turkiye, dari 14 hingga 15 Oktober 2025.

Malaysia telah memainkan peranan yang signifikan dalam bengkel tersebut dengan dua orang wakil negara membuat pembentangan En. Mohd Firdaus Mazalan, Penolong Pengarah Kanan dari Bahagian Perancangan Strategik, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mewakili Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membuat pembentangan bertajuk ”Safeguarding Our Digital Ummah: Malaysia’s Family-Centred Approach To Combating Cyber Addiction And Online Violence”pada Sesi 3: Memperkasakan Keluarga untuk Menangani Ketagihan Siber dan Buli Siber dalam Era Digital. Sesi ini memberi penekanan kepada peranan penting institusi keluarga dalam membina literasi digital dan daya tahan emosi, serta strategi untuk membimbing anak-anak dalam persekitaran digital yang selamat dan bertanggungjawab.

Pada hari kedua pula, En. Suhaimi Sahree, Ketua Jabatan Semakan Polisi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat pembentangan bertajuk ”Online Regulation in Malaysia” pada Sesi 4: Menangani Ketagihan Siber dan Perlindungan Kanak-kanak melalui Rangka Kerja Undang-undang Kebangsaan dan Antarabangsa. Pembentangan ini meninjau bagaimana rangka kerja undang-undang kebangsaan Malaysia seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025), berfungsi untuk mengawal selia kandungan berbahaya dan melindungi hak serta kesejahteraan kanak-kanak dan belia dalam ruang siber.