-
Tarikh Kemaskini 13 May 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai Persidangan ASEAN Family Development Network (FAMNET) 2026 secara dalam talian pada 12 Mei 2026 bagi mengukuhkan komitmen strategik negara dalam agenda kesejahteraan keluarga serantau.
Delegasi Malaysia diketuai oleh YBhg. Dato' Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, pegawai-pegawai LPPKN, wakil dari Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang dan Naib Canselor Universiti Malaya-Wales.
Semasa persidangan tersebut, YBhg. Dato' Abdul Shukur Abdullah telah mewakili negara sebagai Ahli Panel bagi Sesi Pleno 3 yang bertajuk Contemporary Parenting in the Digital Age.
Pembentangan strategik Malaysia menggariskan tiga (3) resolusi utama:
1. Transformasi Pendekatan Keibubapaan: Keperluan mendesak untuk beralih daripada pendekatan pemantauan siber (monitoring) kepada bimbingan aktif (mentoring) bagi membina daya tahan digital anak-anak.
2. Sinergi Ekosistem Bersepadu (Whole-of-Government): Pendekatan holistik yang dipacu oleh Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) 2026-2030, disokong oleh jaringan intervensi rentas agensi termasuk Talian Kasih 15999, Talian HEAL 15555, dan advokasi keselamatan negara,CyberSAFE.
3. Impak Berteraskan Data (Data-Driven Impact): Pelaksanaan inovasi chatbot Naungan Kasih (NKText) yang terbukti secara empirikal menurunkan kes penderaan kanak-kanak sebanyak 23%, dengan sasaran peluasan strategik kepada 280,000 penjaga menerusi rangkaian KEMAS.
Penyertaan ini memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menonjolkan kepimpinan dan inovasi negara dalam modul kekeluargaan ke pentas serantau, di samping mengukuhkan kerjasama rentas sempadan bagi melindungi keluarga daripada risiko siber.
Selain itu, ia memastikan perancangan serantau seperti ASEAN Mid-Term Work Plan for Family Development (2026-2030) dijajarkan secara langsung dengan agenda pembangunan keluarga negara bagi menyokong pelaburan kesejahteraan institusi keluarga secara berterusan.
The future of digital safety does not depend only on stronger technology. It depends on stronger families.



