• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

Persidangan Kependudukan Kebangsaan yang bertemakan "InterRelationship Between Population Dynamics And Development" yang telah diadakan di Hotel Palm Garden, Putrajaya.

Persidangan ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEA), Universiti Malaya bersempena dengan sambutan Hari Penduduk Sedunia 2014 yang disambut pada 11 Julai setiap tahun.

Persidangan ini bertujuan untuk membincangkan isu dan cabaran dinamik penduduk dan hubungkait dengan pembangunan negara serta berkongsi amalan terbaik dari sudut dasar dan program yang telah dilaksanakan. Persidangan ini juga akan memberi input bagi penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan juga dijadikan input kepada United Nations General Assembly (UNGA) pada bulan September 2014 yang akan membincangkan pelaksanaan program kependudukan melangkaui 2014 (ICPD Beyond 2014).

Menurut maklumat terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk di negara ini telah bertambah daripada 10.88 juta orang pada tahun 1970 kepada 29.94 juta orang pada tahun 2013 di mana pertambahan penduduk dalam tempoh dua dekad terakhir melebihi 10 juta orang. Jabatan Perangkaan juga mengunjurkan penduduk negara akan mencapai 38.6 juta pada tahun 2040.

Dengan pertambahan penduduk ini, Malaysia dijangka akan berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi aliran kependudukan dan sosio-demografi. Antaranya adalah perubahan struktur penduduk muda dan penuaan, penurunan kadar kesuburan dan kadar pertumbuhan penduduk tahunan, peningkatan urbanisasi dan migrasi, serta keperluan kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sehubungan itu, perubahan penduduk perlu diambil kira dalam perancangan pembangunan ekonomi dan sosial negara terutama perancangan pembangunan lima tahun.

Tahun 2014 dan 2015 merupakan tahun-tahun terakhir bagi pelaksanaan program tindakan penduduk dan pembangunan (ICPD-PoA) dan juga matlamat pembangunan milenium (MDGs). Justeru, persidangan yang diadakan pada hari ini adalah bertepatan di mana hubung kait di antara faktor kependudukan dan pembangunan akan diperbincangkan.
Persidangan selama sehari ini telah menghimpunkan 10 orang pembentang kertas kerja tentang dinamik dan dasar penduduk, pendidikan, kesihatan, pekerjaan, pembangunan, migrasi, sosial dan penuaan. Persidangan ini dihadiri oleh seramai 130 peserta mewakili kementerian dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan antarabangsa dan badan bukan kerajaan.