-
Tarikh Kemaskini 04 November 2026
KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyempurnakan perasmian Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2026 (PERKKS26) dan seterusnya melancarkan Laporan Penemuan Utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6), 2024 di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.
Kajian yang dilaksanakan oleh KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ini menyediakan gambaran menyeluruh mengenai perubahan demografi, aspirasi pembentukan keluarga, kesihatan reproduktif, kehidupan berkeluarga, remaja dan warga emas di Malaysia.
Antara penemuan utama KPKM-6 menunjukkan purata saiz isi rumah di Malaysia telah menurun daripada 4.0 orang pada tahun 2014 kepada 3.8 orang pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, hasrat untuk berkeluarga masih kekal apabila lebih 8 daripada 10 penduduk bujang menyatakan keinginan untuk berkahwin.
Selain itu, kajian turut mengenal pasti beberapa aspek yang memerlukan perhatian, termasuk tahap pengetahuan kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja serta kesihatan dan keperluan penjagaan warga emas.
Dapatan kajian ini menjadi sumber rujukan penting dalam memperkukuh perancangan dasar, pembangunan program dan intervensi yang lebih bersasar, inklusif serta responsif terhadap keperluan keluarga dan masyarakat.
Melalui penganjuran PERKKS26 yang membawa tema “Menilai Realiti Penduduk, Merangka Masa Depan Keluarga”, LPPKN terus komited memperkasa penyelidikan dan kerjasama strategik dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan keluarga berteraskan bukti serta memberi manfaat kepada rakyat.
LPPKN – 60 Tahun Memperkasa Keluarga, Membina Masa Depan Negara.



