-
Tarikh Kemaskini 03 September 2026
3 SEPTEMBER 2026 : Dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan reproduktif dan kesejahteraan keluarga, LPPKN melalui Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga (BPKK) telah menganjurkan Sesi Research-to-Development (R2D) Memperkasa Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN pada 3 September 2026 di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM).
Sesi ini mengetengahkan pembentangan hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025 bertajuk “Pemetaan Perjalanan Pelanggan: Satu Kajian Kualitatif di Klinik Nur Sejahtera LPPKN” oleh Dr. Muhamad Hilmi Abdul Rahman, Universiti Malaya, yang meneliti pengalaman pelanggan sepanjang mendapatkan perkhidmatan KNS serta ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Melalui Makmal Terjemahan Penyelidikan (R2D Lab), ahli panel bersama-sama mengenal pasti titik sentuh kritikal, jurang perkhidmatan serta cadangan penambahbaikan meliputi proses kerja, pendigitalan, komunikasi dan pengalaman pelanggan. Sesi ini mencerminkan komitmen LPPKN dalam memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada tindakan dan penambahbaikan perkhidmatan yang lebih mudah, mesra dan berorientasikan pelanggan.
Sesi ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, YBrs. Encik Hairil Fadzly Md. Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN serta YBhg. Datin Prof. Dr. Izlin Ismail, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.



