• Tarikh Kemaskini 29 July 2026

28 JULAI 2026: YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), telah mengadakan kunjungan kerja ke SMK Alma, Pulau Pinang sempena Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI sebagai usaha memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara LPPKN dan institusi pendidikan dalam memperkasakan agenda pembangunan keluarga serta kesejahteraan masyarakat.

Program dimulakan dengan sesi taklimat mengenai pelaksanaan inisiatif Sekolah Angkat MADANI oleh Pengarah LPPKN, diikuti pembentangan profil sekolah dan sesi perbincangan berkaitan cadangan pelaksanaan program yang akan memberi manfaat kepada warga sekolah.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Ketua Pengarah LPPKN, diikuti penyampaian sijil dan plak lantikan kepada SMK Alma sebagai Sekolah Angkat MADANI, sesi fotografi, tandatangan Buku Pelawat serta lawatan sekitar kawasan sekolah.

Pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI mencerminkan komitmen LPPKN dalam memperluas jaringan kolaborasi bersama institusi pendidikan bagi memperkukuh pembangunan sahsiah, kesejahteraan keluarga dan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.