-
Tarikh Kemaskini 17 September 2019
SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
“kesaksamaan gender dan hak kanak-kanak dalam keluarga kontemporari”
Dunia menyambut Hari Keluarga Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) setiap 15 Mei dan tema tahun ini ialah “Kesaksamaan Gender dan Hak Kanak-kanak dalam Keluarga Kontemporari”. Tema ini dipilih bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menjana sokongan pelbagai pihak berkaitan kesaksamaan gender dan hak kanak-kanak dalam keluarga. Ia juga sebagai usaha untuk mencegah keganasan rumahtangga melalui rangka kerja undang-undang keluarga dan pelbagai program intervensi.
Saya ingin menekankan bahawa setiap ahli keluarga perlu meningkatkan kepekaan gender iaitu keupayaan individu dalam memahami dan mengenali keperluan, kehendak dan peranan yang berbeza-beza antara lelaki dan wanita. Ini menjadi asas untuk mencapai kesaksamaan gender bersesuaian dengan kehendak agama, budaya dan nilai masyarakat Malaysia. Justeru itu, lelaki dan wanita dapat berkongsi peluang dan potensi secara positif dan kreatif dalam menyumbang kepada pembangunan keluarga khasnya dan Negara amnya.
Saya dan Kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus menyatakan sokongan terhadap Hari Keluarga Antarabangsa ini dan menggalakkan ahli keluarga serta masyarakat untuk menghayati teras keluarga bahagia melalui program Jelajah Keluarga Bahagia iaitu KASIH: Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu dan Harmoni. Melalui program ini dengan tema “Saya Sayang Keluarga Saya”, marilah sama-sama menzahirkan kasih sayang untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Selain itu, program kekeluargaan seperti modul dan perkhidmatan kaunseling yang dianjurkan LPPKN juga memberi pengetahuan dan kemahiran kepada ahli keluarga memahami kesaksamaan gender, peranan dan tanggung jawab bersama. Pengurusan tekanan juga diberi perhatian seperti dalam Modul Kesejahteraan Hidup (remaja), Praperkahwinan SMARTSTART kepada pasangan baru berkahwin dan Keluarga@Kerja kepada ibu bapa bekerja. .
Majlis Penasihat dan Perunding Kesejahteraan Keluarga Negara juga telah digerakkan di bawah Dasar Keluarga Negara bagi memastikan undang-undang, dasar, prosedur serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan mengutamakan perspektif keluarga. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu meningkatkan kesedaran tentang hak kanak-kanak bagi mengelakkan pengabaian berlaku terhadap anak-anak bersesuaian dengan Seksyen 31 (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Kerajaan juga melalui Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012 telah memperluaskan takrifan keganasan rumahtangga daripada penderaan bersifat fizikal kepada penderaan bersifat psikologi dan penggunaan bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain yang menyebabkan delusi kepada mangsa.
“Saya Sayang Keluarga Saya”
Dato’ Sri Rohani Abdul Karim
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Malaysia
15 Mei 2015