-
Tarikh Kemaskini 28 October 2024
20 Oktober 2024, Kuala Lumpur - YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyempurnakan Majlis Kesedaran Kanser Payudara: Body Perfect’s the Power of Pink 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menyedari tahap kesedaran wanita yang masih rendah berkaitan kesihatan payudara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus mempergiat kempen kesedaran dan pengesanan awal kanser payudara.
YB Menteri dalam ucapannya menyeru para wanita untuk lebih peka dan sedar akan kepentingan penjagaan kesihatan terutamanya berkaitan payudara dengan melakukan pemeriksaan secara berkala bagi pengesanan awal kanser melalui saringan ujian mamogram. Hal ini bagi membolehkan penyakit itu dirawat awal dengan lebih berkesan sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup mereka.
Kerajaan telah menyediakan subsidi ujian mamogram secara percuma kepada kepada wanita yang layak dan pendaftaran bagi mendapatkan inisiatif ini boleh diakses melalui 50 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.
Dalam majlis tersebut, YB Menteri turut menyampaikan ‘mock voucher’ sebagai simbolik pemberian perkhidmatan saringan awal kanser reproduktif kepada wanita secara percuma.
Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Event Ambassador iaitu Cik Grace Chan dan selebriti tempatan. Turut diadakan sesi perkongsian mengenai “Breast Cancer in Young Women: Unique Challenges and Solutions” yang disampaikan oleh Dr Harjit Kaur, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin dari Prince Court Medical Centre, “The Power of Screening: Mammograms & HPV DNA” oleh Dr. Wan Nur Baiti Sudin, Pegawai Perubatan dari LPPKN dan Miss Hong Kong yang membicarakan mengenai “How to Have It All”.
Antara aktiviti lain yang diadakan adalah pemeriksaan klinikal payudara, pendaftaran Subsidi Ujian Mamogram, demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara (BSE), ujian HPV DNA dan demonstrasi memasak makanan sihat.
Turut sama hadir dalam majlis hari ini ialah YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, YBrs. Puan Nordina Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), YBrs. Puan Sri Akmal Abdul Salam, Patron BCWA dan YBrs. Puan Mandy Tan, Pengarah Urusan Body Perfect Sdn. Bhd.