-
Tarikh Kemaskini 17 September 2019
SIARAN MEDIA
SEMPENA HARI PENDUDUK SEDUNIA
PERANCANGAN KELUARGA ADALAH HAK ASASI MANUSIA
(FAMILY PLANNING IS A HUMAN RIGHT)
11 JULAI 2018, adalah sambutan Hari Penduduk Sedunia ke-29 tahun sejak diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1989. Sambutan bertemakan "Family Planning is a Human Right" atau "Perancangan Keluarga adalah Hak Asasi Manusia" bertujuan untuk mengetengah dan meningkatkan kefahaman serta kesedaran masyarakat umum mengenai hubung kait di antara penduduk dan pembangunan negara.
Mengenai tema yang dipilih, ia dilihat sebagai hak asasi manusia kepada akses perancangan keluarga secara sukarela dan selamat. Ia merupakan satu daripada keperluan asas kesihatan reproduktif kerana memberikan hak kepada keluarga terutamanya wanita untuk merancang dan menjarakkan kehamilan sekaligus memastikan ibu dan anak memperoleh manfaat kesihatan yang optimum. Perancangan keluarga secara sukarela dan selamat tidak hanya membantu mengurangkan risiko kematian maternal dan kecacatan bayi disebabkan kehamilan dan kelahiran terlalu awal atau lewat malah membantu mengurangkan kadar kemiskinan sesebuah negara.
Di peringkat global, kemudahan mengakses kesihatan reproduktif termasuk perancangan keluarga adalah agenda baru yang ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) 2015-2030 bagi membangunkan keluarga dan masyarakat yang sihat.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah kematian maternal di Malaysia telah menurun daripada 40 setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1991 kepada 24 setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 2015. Antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan nisbah kematian maternal adalah akses luas kepada perkhidmatan kesihatan profesional serta peningkatan akses kepada perkhidmatan dan maklumat perancangan keluarga yang berkualiti.
Untuk rekod, amalan perancangan keluarga di Malaysia masih di peringkat sederhana. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2014, mendapati kadar penggunaan kontraseptif dalam kalangan wanita berkahwin berumur 15-49 tahun kekal stabil dalam lingkungan 52 hingga 55 peratus di antara tahun 1984 hingga 2014. Pemilihan kaedah kontraseptif moden telah meningkat daripada 30.3 peratus pada tahun 1984 kepada 34.3 peratus pada tahun 2014, dan ia perlahan-lahan menggantikan kaedah kontraseptif tradisional.
Justeru, akses kepada perancangan keluarga dan kesihatan reproduktif pada hari ini telah diperluaskan serta boleh didapati melalui rangkaian hospital dan klinik kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan. Begitu juga di klinik-klinik Nur Sejahtera kendalian LPPKN, Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), farmasi dan pusat perubatan swasta. Semua usaha ini adalah untuk memastikan kebolehaksesan, kemampuan dan liputan penuh terhadap perancangan keluarga dan perkhidmatan kesihatan reproduktif di bandar mahupun luar bandar dapat dicapai.
Bersempena sambutan ini, LPPKN turut menganjurkan aktiviti ceramah tentang perancangan keluarga pada 11 Julai di peringkat ibu pejabat dan diikuti peringkat negeri sepanjang Julai bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran umum tentang perancangan keluarga.
Satu kolokium khas bagi membincangkan isu, cabaran dan mencadangkan hala tuju amalan perancangan keluarga di Malaysia, juga dirancang untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat. Kolokium akan dihadiri oleh pakar-pakar perancangan keluarga yang terdiri daripada ahli akademik, pengamal perubatan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi berkaitan.
- tamat -
DISEDIAKAN OLEH:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA PENDUDUK DAN PEMBANGUNAN KELUARGA NEGARA