• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

SRI AMAN, 26 OGOS 2014 – "Pelaksanaan program latihan kapasiti MamaCare pada hari ini turut memberi peluang kepada para wanita khususnya ibu tunggal, warga emas serta golongan yang berpendapatan rendah (Low Income Household) di kawasan Batang Lupar untuk mendapatkan kemahiran dalam aspek penjagaan ibu selepas bersalin. Pelaksanaan program ini juga akan dapat mengangkat martabat pengamal urutan tradisional dan moden ini sebagai salah satu profesyen yang mempunyai nilai komersial dan dipandang tinggi oleh masyarakat di negeri Sarawak khasnya dan seluruh Malaysia amnya, serta turut memberi pendapatan lumayan kepada pengamalnya". Ini dinyatakan oleh YBhg. En Safiudin Haji Matsah, Setiausaha Politik, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika membacakan ucapan YB Dato Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Majlis Penutup Bengkel Latihan Kapasiti Penjagaan Selepas Bersalin MamaCare di Dewan Seri Manggang, Sri Aman hari ini.

Menurut beliau lagi, kerajaan sememangnya amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan kebajikan wanita terutama dalam aspek penjagaan kesihatan. Sehubungan itu, pada tahun 2012 di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsan (NBOS 7) yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Program Penjagaan Selepas Bersalin "MamaCare" telah diperkenalkan. Program MamaCare merupakan salah satu usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk memperkasakan wanita dalam ekonomi sekaligus mempertingkatkan taraf ekonomi isirumah berpendapatan rendah.

Pada tahun 2013, pengamal MamaCare telah meraih pendapatan bulanan antara RM250 hingga RM6,600 sebulan. Bagi tahun ini, LPPKN mensasarkan seramai 300 orang wanita akan dilatih. Selaras dengan usaha ini, LPPKN memperkenalkan perkhidmatan MamaCare ini sebagai tambahan kepada program kesihatan sedia ada bagi ibu-ibu selepas bersalin. Perkhidmatan MamaCare disediakan di Pusat Keluarga LPPKN terpilih dan turut diperluas melalui perkhidmatan dari rumah ke rumah. Majlis hari ini menyaksikan seramai 20 orang pelatih MamaCare berjaya menamatkan latihan selama 4 hari 3 malam sekaligus melayakkan mereka menerima Sijil Asas Amalan Profesional Urutan Melayu Mamacare.