• Tarikh Kemaskini 16 November 2022

Seperti kebiasaan sejak dari tahun 2006, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganjurkan Persidangan Kependudukan Kebangsaan pada setiap tahun. Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 (PERKKS 22) diadakan dengan kerjasama sekali lagi bersama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM).

 

Selain membincangkan isu semasa dan cabaran dinamik penduduk dan keluarga khususnya ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19, PERKKS 22 diadakan bertujuan bagi memberi peluang kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka serta mengusulkan cadangan penambahbaikan terhadap dasar dan program sedia ada.

 

Sebanyak lima (5) bidang utama yang difokuskan dalam PERKKS 22 iaitu; meliputi (i) Kependudukan, Pembangunan Lestari dan Pertumbuhan Ekonomi Inklusif; (ii) Kehidupan Keluarga di Era Endemik; (iii) Wanita, Kesaksamaan Gender dan Kesihatan Reproduktif; (iv) Penduduk dan Kesan Perubahan Iklim & Pemanasan Global; dan (v) Penduduk Muda, Potensi dan Corak Masa Depan Negara.

 

PERKKS 22 berlangsung pada 10 hingga 11 November 2022 (Khamis dan Jumaat) bertempat di Hotel Bangi Resort, Bangi, Selangor dan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM. Turut ditampilkan, Dr. Asa Torkelsson, Perwakilan Tetap UNFPA Malaysia untuk menyampaikan Ucaptama dan ahli panel yang tidak asing lagi bagi mengupas isu kependudukan dan kekeluargaan negara dalam sesi panel termasuklah YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia dan YBhg. Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram, Penasihat Penyelidik, Khazanah Research Institute (KRI).

 

 

Persidangan ini juga berjaya menghimpunkan sejumlah 173 abstrak, 114 artikel penuh dan 18 poster penyelidikan yang dibentangkan oleh ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan siswazah daripada pelbagai bidang yang berkaitan kependudukan dan kekeluargaan. Bagi mengiktiraf penghasilan artikel penyelidikan yang terbaik, penganjuran PERKKS 22 kali ini turut menyediakan anugerah Best Paper Award dan Best Poster Award.

 

PERKKS 22 merupakan platform terbaik kepada pakar, ahli akademik, penyelidik dari agensi kerajaan dan swasta, dan juga pelajar universiti dari pelbagai bidang untuk membentang, menyebarluas hasil kajian, mewujudkan ruang perkongsian idea, dan menjadi medan perbincangan ilmiah berkenaan isu kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta memantapkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

 

LPPKN mengharapkan melalui perkongsian idea dan penemuan baharu yang diperoleh dari PERKKS 22 ini mampu dijadikan sebagai input utama dalam penggubalan dasar dan pembangunan program serta intervensi bersesuaian oleh pihak Kerajaan. Maklumat lanjut mengenai PERKKS 22 boleh dilayari di laman sesawang Malaysia Population Research Hub LPPKN: https://mprh.lppkn.gov.my/.