• Tarikh Kemaskini 03 November 2022

PUCHONG, 3 NOV. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM memilih KASIH Keluarga Malaysia sebagai tema bagi sambutan Bulan Keluarga Malaysia bagi tahun 2022 (BKM22). KASIH adalah singkatan kepada nilai keluarga merangkumi kasih sayang, akhlak atau peribadi mulia, sihat fizikal dan mental, berilmu dan harmoni. 

“Tema ini selaras dengan hasrat Kerajaan bagi menyemarakkan peranan keluarga dalam usaha memastikan kesinambungan nilai-nilai peribadi mulia dan ketimuran ke arah pembentukan keluarga sejahtera,” demikian menurut YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika berucap di Program KASIH@SMILE sempena Bulan Keluarga Malaysia 2022, di sini.

Menurut Datuk Seri Rina lagi, “Usaha untuk mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan keluarga merupakan tanggungjawab semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO mahupun masyarakat.”

Pelancaran atau kick-off BKM22 dan Program KASIH@SMILE ini melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Datuk Seri Rina menambah, “Program bertujuan memperkenalkan dan menyampaikan perkhidmatan yang disediakan oleh KPWKM dan KBS kepada rakyat, memberi pendedahan dan pengalaman kepada usahawan kumpulan sasar KPWKM di samping menyemarakkan lagi sambutan Bulan Keluarga Malaysia yang disambut pada setiap Bulan November.”

Pelbagai acara lain turut diadakan seperti ceramah kekeluargaan, sukan indoor, pendaftaran mamogram dan saringan kanser serviks, kafeTEEN, MamaCare, kaunter semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pameran agensi. Orang ramai diseru untuk mengambil semangat Sambutan Bulan Keluarga Malaysia pada tahun ini dengan menjalankan aktiviti-aktiviti bermanfaat bersama ahli keluarga dan pupuklah nilai KASIH dalam keluarga masing-masing.

Maklumat lanjut mengenai perancangan program dan aktiviti sepanjang sambutan Bulan Keluarga Malaysia boleh dirujuk melalui pautan http://bkm.lppkn.gov.my/bkm2022/