• Tarikh Kemaskini 19 December 2019

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

PENILAIAN IMPAK KELUARGA ATAU FAMILY IMPACT ASSESSMENT (FIA) AKAN DILAKSANAKAN DALAM POLISI DAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN NEGARA

 

 

 

BETONG, 15 MAC 2015 – “Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang untuk melaksanakan penilaian impak keluarga atau family impact assessment (FIA) dalam polisi dan perancangan pembangunan Negara. FIA ini penting kerana institusi keluarga adalah unit asas pembangunan Negara dan institusi yang akan melahirkan generasi masa depan Negara. Keluarga juga terlibat secara langsung merasai kesan dari setiap polisi dan pembangunan yang dilaksanakan dalam Negara. Dengan mandat yang diberikan kepada LPPKN untuk bertindak sebagai “Family Centre of Excellence” bagi menyelaras agenda kesejahteraan keluarga, saya berharap berharap Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) akan meningkat dari 7.55 pada 2011 kepada 8.0 menjelang tahun 2020”. Perkara ini dinyatakan oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Keluarga Bahagia 2015 oleh Kementeriannya melalui LPPKN di sini, hari ini.

Bagi meneruskan usaha KPWKM untuk memartabatkan institusi keluarga di Malaysia, satu cadangan Halatuju Strategik Pembangunan Keluarga Malaysia telah dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara pada 3 Mac lalu dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah meluluskan syor mewujudkan tempat rujukan atau focal point kesejahteraan keluarga di setiap Kementerian dan Jabatan di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri serta memperkasa peranan LPPKN sebagai Family Centre of Excellence (Pusat Kecemerlangan Keluarga),” tambah YB Rohani lagi.

Jelajah Keluarga Bahagia adalah usaha berterusan KPWKM melalui agensi di bawahnya LPPKN untuk meningkatkan penglibatan semua peringkat masyarakat secara inklusif mengutamakan perspektif keluarga bersama kerajaan di peringkat masing-masing tidak kira swasta, ngo, komuniti masyarakat dan ibu bapa sebagai pemimpin keluarga.

Jelajah Keluarga Bahagia ini membawakan tema yang mudah dan sinonim dengan fitrah berkeluarga iaitu “Saya Sayang Keluarga Saya”. Ianya bertujuan untuk mengajak setiap ahli keluarga dan masyarakat supaya kembali memberi keutamaan kepada keluarga sebagai fitrah (back to basics) dalam setiap perancangan dan tindakan kehidupan kita. Dalam bentuk pengertian yang mudah, apabila individu tersebut sayangkan keluarga, sudah tentu beliau inginkan yang terbaik untuk mereka.

Di akhir ucapan, beliau berharap program JKB yang berkonsepkan Karnival Keluarga Bahagia akan menjadi salah satu medium penyampaian perkhidmatan kekeluargaan kepada kumpulan sasar. Sebanyak 25 agensi terlibat dalam menyediakan perkhidmatan interaktif dan lebih 50 rakan strategik termasuk agensi kerajaan, swasta, NGO serta syarikat korporat terlibat dalam 10 lokasi Jelajah Keluarga Bahagia 2015 bermula di Pusa ini seterusnya Sibu, Miri dan Kuching bagi Negeri Sarawak. Manakala Sabah, adalah di Beaufort dan Sandakan. Sementara itu, bagi Semenanjung pula, zon tengah di Perak, zon selatan di Melaka, zon pantai timur di Terengganu dan zon utara di Kedah.

####

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Unit Komunikasi Korporat               

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)      

12B, Jalan Raja Laut                                             

50350 Kuala Lumpur                                                                                    

No. telefon   :         03-2693 7555         samb. 3308 / 3310/ 2132 

No. Faks      :         03-2691 9431