• Tarikh Kemaskini 17 September 2019

 SIARAN MEDIA

 

DASAR KELUARGA NEGARA AKAN DIPERKASAKAN

BAGI MENGUKUHKAN INSTITUSI KELUARGA DI MALAYSIA

 

KUALA LUMPUR,  7 Jun. – Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa Dasar Keluarga Negara akan diperkasakan melalui Majlis Penasihat dan Perundingan Keluarga Negara (MPPKN) bagi mengukuhkan institusi keluarga di negara ini dalam menghadapi perubahan cabaran akan datang.  

 

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, MPPKN akan dianggotai oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang berkaitan kekeluargaan.

 

"Antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah mengkaji semula pelaksanaan Dasar Keluarga Negara, dengan mengambil kira isu dan cabaran keluarga masa kini dan masa hadapan yang dinamik termasuk isu perkahwinan dan perceraian, kesejahteraan remaja, pengukuhan nilai keluarga, penurunan kadar kesuburan serta penuaan penduduk," tambah Wan Azizah kepada media sebaik selesai kunjungan rasmi ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi utama yang bertanggungjawab dalam bidang pembangunan keluarga di Negara ini.

 

Sementara itu, selaras dengan Janji 53 di dalam Buku Harapan iaitu "Mendokong keutuhan institusi keluarga dan kejiranan", maka kerajaan akan memperluaskan program pemerkasaan keluarga dan komuniti bagi mencapai kesejahteraan keluarga.

 

Pada masa ini, LPPKN sedang melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) secara berfasa di 32 buah komuniti terpilih di seluruh negara dan pendekatan pelaksanaan program FACE adalah berasaskan keperluan masyarakat setempat (evident based). 

 

Selaras dengan hasrat ini, beliau turut menambah bahawa peranan LPPKN akan diperkukuh sebagai pusat kecemerlangan penduduk dan keluarga berdasarkan kepentingan pengukuhan institusi keluarga sebagai asas kestabilan sosial di dalam masyarakat.

 

Untuk maklumat lanjut sila hubungi: 

Unit Komunikasi Korporat         

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)  

12B, Jalan Raja Laut                                      

50350 Kuala Lumpur                                                                             

No. Telefon:       03-2613 7555     samb. 3308 / 3310/ 3309/ 2132  

No. Faks   :        03-2691 9431